Pakistan dakwa berjaya tawan askar India

ISLAMABAD - Ketegangan semakin memuncak di Asia Selatan apabila Pakistan mendakwa telah menembak jatuh beberapa pesawat pejuang India dan menahan sejumlah askar susulan serangan rentas sempadan oleh New Delhi.
Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Muhammad Asif berkata, sekurang-kurangnya lima pesawat India berjaya ditembak jatuh.
“Kami tidak mahu situasi ini menjadi lebih buruk. Tetapi jika India terus melakukan provokasi, kami wajib mempertahankan kedaulatan negara,” katanya kepada Bloomberg pada Rabu.
Dakwaan itu menyusuli tindakan ketenteraan India melancarkan peluru berpandu ke arah Kashmir yang ditadbir Pakistan dan wilayah Punjab timur. India mendakwa operasi itu menyasarkan sembilan lokasi berkaitan 'infrastruktur pengganas'.
Kementerian Pertahanan India menjelaskan serangan itu menyasarkan lokasi yang dipercayai menjadi pusat perancangan serangan ke atas negara itu.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengecam tindakan India sebagai 'satu perbuatan perang' dan berikrar bahawa Islamabad akan bertindak balas mempertahankan rakyatnya.
Serangan tersebut berlaku selepas kejadian serangan kejam ke atas pelancong di Pahalgam, Kashmir yang ditadbir India pada 22 April lalu, yang mengorbankan 26 orang - insiden paling buruk dalam hampir dua dekad.
India menyalahkan kumpulan militan berpangkalan di Pakistan atas serangan tersebut, namun Islamabad menafikan penglibatan dan mendakwa India sedang mencipta alasan untuk berperang. -Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

