Keterangan Pamela direkod 9 kali, bekas KP SPRM persoal prosedur siasatan

Laporan Sinar Harian mengenai Pamela mohon semakan cabar SPRM dua hari sebelum hilang.
Laporan Sinar Harian mengenai Pamela mohon semakan cabar SPRM dua hari sebelum hilang.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa merekod keterangan usahawan, Datin Seri Pamela Ling Yueh selepas dibebaskan daripada tahanan reman mencetus persoalan berhubung integriti prosedur dan kesahihan proses siasatan.

Bekas Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip keadilan kerana mengikut undang-undang, seseorang yang telah ditahan dan dirakam keterangannya semasa reman tidak seharusnya dipanggil semula.

“Saya mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini oleh peguam yang mewakili usahawan berkenaan, di mana beliau telah ditahan, direman serta dirakam keterangan sebanyak sembilan kali.

“Mengikut undang-undang, pengambilan kenyataan lanjut dalam kapasiti sama tidak dibenarkan melainkan individu tersebut diklasifikasikan semula sebagai saksi.

“Itu pun hanya boleh dibuat dengan kelulusan dan kebenaran jelas daripada Timbalan Pendakwa Raya. Sekiranya tidak dipatuhi, ia boleh menjejaskan kesahihan siasatan yang dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini, Pamela dilaporkan telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan dan layanan SPRM terhadap dirinya.

Menurut peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo, Pamela menerima tekanan berterusan daripada SPRM berhubung siasatan kes di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Tambah Dzulkifli, kuasa penahanan SPRM hanya wajar digunakan sekiranya wujud bukti mencukupi untuk sesuatu pertuduhan dan bukannya sewaktu siasatan masih berjalan.

“Penangkapan dibuat sebelum atau semasa siasatan masih dijalankan bukan sahaja tidak wajar tetapi berisiko melanggar kedaulatan undang-undang dan prinsip asas keadilan.

Artikel Berkaitan:

“SPRM perlu konsisten dalam pendekatannya. Dalam siasatan ke atas Datuk Seri Ismail Sabri, beliau tidak ditahan walaupun merupakan suspek. Begitu juga dalam kes Vivy Yusof, beliau hanya dibawa ke mahkamah selepas pendakwaan dibuat tanpa sebarang penahanan semasa siasatan,” ujarnya lagi.

Justeru, beliau menggesa semua agensi penguat kuasa termasuk SPRM untuk mematuhi proses yang sewajarnya dan termaktub dalam undang-undang negara bagi memastikan tiada hak individu dicabuli.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!