Pamela mohon semakan cabar SPRM dua hari sebelum hilang

Loparan Sinar Harian berkaitan misteri kehilangan Pamela.
Loparan Sinar Harian berkaitan misteri kehilangan Pamela.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Dua hari sebelum dilaporkan hilang, Datin Seri Pamela Ling Yueh telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan dan layanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap dirinya.

Menurut peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo, Pamela menerima tekanan berterusan daripada SPRM berhubung siasatan kes di bawah Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Beliau mendakwa Pamela ditekan, ditahan dan direman tanpa asas undang-undang yang sah, walaupun sentiasa memberi kerjasama penuh. Pamela juga dikenakan sekatan perjalanan sejak Oktober 2024 tanpa sebarang penjelasan dan diwajibkan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Kehilangan Pamela berlaku pada 9 April lalu, hari beliau dijadualkan hadir ke SPRM untuk kali kesembilan.

Menurut adiknya, Simon Ling Wan Siong, Pamela menghantar mesej kepada peguamnya pada jam 1.57 tengah hari memaklumkan bahawa beliau dalam perjalanan ke SPRM di Putrajaya menggunakan perkhidmatan e-hailing dan dijangka tiba pada jam 2.08 petang.

Namun, selepas jam 2 petang, panggilan telefon dan pesanan WhatsApp tidak berbalas. Lokasi terakhir telefon bimbitnya dikesan berhampiran Lebuhraya MEX dekat Pusat Bandar Putra Permai pada jam 1.52 tengah hari.

Grab Malaysia mengesahkan perjalanan tersebut ditandakan sebagai selesai, tetapi tiada maklumat lanjut diberikan. Simon mendakwa kereta e-hailing yang dinaiki Pamela telah dipintas oleh tiga kenderaan tidak dikenali dan beliau diarahkan masuk ke salah satu daripadanya.

Sehingga kini, Pamela tidak dapat dihubungi dan keluarganya percaya beliau telah diculik.

Polis telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan berkaitan penculikan atau penculikan dengan niat untuk menahan seseorang secara salah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, menyatakan bahawa siasatan turut mengambil kira kemungkinan bahawa Pamela diculik oleh individu yang menyamar sebagai pegawai polis atau pihak berkuasa.

Siasatan juga melibatkan rakaman CCTV dan keterangan daripada pemandu e-hailing yang membawa Pamela pada hari kejadian.

Setakat ini, 16 individu termasuk suami Pamela, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu, telah diambil keterangan.

Suaminya disahkan masih berada dalam negara dan polis merancang untuk mengambil keterangan daripada anak-anak pasangan tersebut yang berada di Singapura. Siasatan turut meneliti kemungkinan penglibatan individu lain dalam kes ini.

SPRM mengesahkan bahawa Pamela merupakan saksi dalam siasatan kes pengubahan wang haram melibatkan beliau dan suaminya. Namun, peguamnya mempersoalkan mengapa SPRM tidak membuat laporan polis selepas Pamela gagal hadir memberikan keterangan pada 9 April.

Keluarga Pamela merayu kepada orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan. Mereka boleh menghubungi bapanya, Ling Kie Yii di talian 012-8867979 atau adiknya, Simon Ling Wan Siong di talian 012-8866799.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!