Pamela, suami disiasat SPRM sejak Mei 2024

Pamela Ling Yueh
Pamela Ling Yueh
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan kronologi dan status siasatan membabitkan Datin Seri Pamela Ling Yueh dan suaminya, Datuk Seri Thomas Hah Tiing Siu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, SPRM mula menyiasat pasangan itu berkaitan kes yang dibuka pada 28 Mei tahun lalu.

Bagi melengkapkan siasatan, Pamela turut dipanggil namun beliau gagal memberikan kerjasama.

“Sehubungan itu, satu waran tangkap terhadap Pamela diperoleh dari Mahkamah Majistret Putrajaya pada 2 Disember lalu sebelum satu tindakan operasi bersama antara SPRM dan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura dilancarkan pada 8 Januari lalu bagi menahan Pamela secara sah dan membawanya pulang ke Malaysia.

“Pada 9 Januari 2025, Pamela telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya sebelum perintah reman selama tiga hari terhadapnya diperoleh sehingga 11 Januari lalu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Pamela kemudian dibebaskan dengan ikat jamin SPRM sebelum diminta hadir pada 9 April lalu bagi meneruskan rakaman percakapan.

“Selain itu, dokumen perjalanannya ditahan melalui Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan di bawah Seksyen 44(1) Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu.

Jelas kenyataan itu, walau bagaimanapun, Pamela gagal hadir pada 9 April sehingga peguamnya membuat laporan polis mengenai kehilangannya pada hari yang sama.

SPRM turut menekankan bahawa pihaknya telah bertindak mengikut kerangka undang-undang termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan.

“Dakwaan gangguan atau salah laku adalah tidak berasas. Semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.

Artikel Berkaitan:

“Cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan yang ditetapkan,” kata kenyataan itu.

SPRM juga memaklumkan, sejak laporan kehilangan Pamela, pihaknya telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan.

Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pada peringkat ini, keutamaan kita bersama adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa agar usaha mengesan dan membawa pulang Pamela dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.

Pada Rabu, media melaporkan Pamela telah memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini bagi mencabar tindakan dan layanan SPRM terhadap dirinya, dua hari sebelum dilaporkan hilang.

Peguam keluarga, Sangeet Kaur Deo dilaporkan berkata, Pamela menerima tekanan berterusan daripada SPRM berhubung siasatan kes di bawah Akta SPRM dan Akta AMLA.

Beliau mendakwa Pamela ditekan, ditahan dan direman tanpa asas undang-undang yang sah, walaupun sentiasa memberi kerjasama penuh.

Pamela juga dikenakan sekatan perjalanan sejak Oktober 2024 tanpa sebarang penjelasan dan diwajibkan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada SPRM sekitar jam 1.30 petang hingga 2.10 petang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!