PATI bersama bayi baru lahir ditahan di tapak pembinaan

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia mengaku memasuki negara ini secara haram dengan menaiki bot untuk bekerja di tapak pembinaan di Kubang Kerian di sini kerana tertarik dengan tawaran gaji lumayan.
Wanita berusia 24 tahun itu bersama suaminya yang berumur 23 tahun menaiki bot selama tiga jam dari Batam, Indonesia dan memasuki Malaysia melalui Johor sebelum tiba di Kelantan pada November tahun lalu.
Pasangan itu kini menetap di sebuah rumah kongsi bersebelahan tapak pembinaan apartmen 42 tingkat, bersama bayi perempuan sulung mereka yang baru berusia sebulan.

“Kami berasal dari Padang, Indonesia dan sudah berkahwin.
“Saya mengandung sebelum ikut suami ke sini kerana mahu cari rezeki,” katanya kepada pemberita ketika ditahan dalam Operasi Gempur Bersasar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri Kelantan di sini, pada Rabu.
Turut hadir dalam operasi itu ialah Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Kelantan (Kawalan), Ruzaana Mohamed.
Menurut wanita PATI berkenaan, mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan dan mendakwa pasport masing-masing telah hilang semasa berada di negara ini.
“Suami saya bekerja sebagai buruh binaan dan saya melahirkan anak di hospital di sini.
“Sekarang anak kami baru sebulan, saya menjaganya di rumah kongsi sementara suami keluar bekerja setiap hari dengan upah RM70,” ujarnya.
Pasangan tersebut tinggal bersama lebih 10 buruh lain di sebuah bilik sewa dalam bangunan itu, tanpa sebarang akses kesihatan untuk bayi mereka.
Tiga beranak berkenaan telah dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

