PATI patah kaki terjun saliran elak ditangkap

JOHOR BAHRU - Tindakan nekad seorang lelaki warga Bangladesh terjun ke dalam saliran air untuk melarikan diri daripada serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor memakan diri apabila dia patah kaki dalam kejadian di sebuah tapak pembinaan di Taman Suria di sini pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia lingkungan 30-an berkenaan dikesan terjun ke dalam saliran sedalam 4.57 meter di kawasan belakang tapak pembinaan sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa.
Namun, akhirnya lelaki terbabit berjaya ditahan selepas terbaring dalam saliran air ditinggalkan kumpulan PATI dianggarkan 60 orang turut yang melarikan diri.
Tidak sekadar sanggup menggadai nyawa dengan terjun ke dalam saliran air, malah ada juga sanggup melintas jalan yang sesak di sebelah tapak pembinaan terbabit demi mengelak ditahan.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 120 pegawai dan anggota JIM Johor terbabit dalam Op Mahir berkenaan, bertindak mengepung kawasan pembinaan bagi mengelakkan lebih ramai PATI melarikan diri
Beliau berkata, pegawai JIM Johor telah melakukan risikan selama seminggu sebelum serbuan berkenaan dilaksanakan.
“Operasi yang dijalankan dari jam 10 pagi hingga 11.15 pagi itu melibatkan seramai 120 anggota penguat kuasa dan pemeriksaan dibuat terhadap 215 individu warga asing dan tempatan.
“Hasil pemeriksaan, seramai 189 PATI ditahan yang terdiri daripada 165 warga Bangladesh, 18 warga Myanmar dan enam warga Indonesia kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen,” katanya ketika pada sidang akhbar selepas operasi.
Menurut beliau, antara kesalahan dikesan termasuk menyalahgunakan pas, tiada dokumen perjalanan sah dan tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Kesemua mereka disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 6(1)(c) serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, seorang penyelia tapak pembinaan turut ditahan dan dikenakan Notis kehadiran ke JIM Setia Tropika bagi membantu siasatan lanjut.
"Kesemua PATI yang ditahan akan dihantar ke Depoh Imigresen Pekan Nanas sebelum dihantar pulang ke negara masing-masing selepas siasatan selesai.
“JIM Johor juga akan meneruskan operasi susulan bagi mengesan saki baki PATI yang melarikan diri dan dipercayai bersembunyi di kawasan berhampiran.
"Mereka dijangka akan kembali ke tapak ini kerana kebanyakan barangan peribadi masih ditinggalkan di asrama pekerja,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

