Pamer harga ubat: Apa yang doktor swasta takut?
LANGKAH kerajaan mewajibkan klinik dan farmasi swasta memaparkan harga ubat mulai 1 Mei lalu telah mencetuskan pelbagai reaksi, terutama dalam kalangan pengamal perubatan swasta.
Peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu dilihat sebagai usaha meningkatkan ketelusan harga dan memberi kuasa pilihan kepada pengguna.
Namun, tindakan ini telah mencetuskan bantahan dalam kalangan doktor swasta yang mempersoalkan rasional dan implikasi pelaksanaannya terhadap perkhidmatan kesihatan.
Isu ketelusan harga dalam sektor kesihatan swasta bukan perkara baharu, malah sering menjadi perdebatan dalam kalangan pengguna dan penyedia perkhidmatan.
Kebimbangan terhadap caj rawatan dan harga ubat yang berbeza-beza antara satu klinik dengan yang lain menimbulkan persoalan mengenai keadilan dan kejelasan dalam sistem yang melibatkan kesihatan awam ini.
Terbaharu, kumpulan doktor swasta mendesak kerajaan menyemak semula penggunaan Akta 723 terhadap profesion perubatan yang didakwa dilaksanakan tanpa rundingan dan libat urus.
Presiden baharu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, banyak persoalan telah dibangkitkan mengenai asas penggunaan Akta 723 serta kaedah pelaksanaannya.
Susulan itu juga, seramai 200 doktor swasta berhimpun di hadapan bangunan Perdana Putra bagi menyertai 11 persatuan perubatan yang diketuai MMA untuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persoalannya sekarang, apa sebenarnya yang ditakuti oleh doktor swasta berhubung pemaparan harga ubat?
Antara hujah utama mereka ialah kebimbangan terhadap salah faham pesakit yang mungkin membuat keputusan rawatan semata-mata berdasarkan harga, bukan keperluan perubatan sebenar.
Golongan itu juga mendakwa, perbandingan harga antara klinik dan farmasi boleh mengelirukan kerana tidak mengambil kira kos operasi serta konsultasi profesional yang turut disediakan bersama ubat.
Tambahan pula, yuran konsultasi klinik swasta yang masih kekal antara RM10 hingga RM35 sejak 1992 dianggap tidak lagi relevan dengan kos semasa pengurusan klinik.
Doktor swasta berpandangan bahawa pemaparan harga ubat tanpa semakan semula yuran perundingan adalah tidak adil dan boleh menjejaskan kelangsungan operasi mereka, terutamanya di kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr Adnan Mat menyatakan, bahawa langkah tersebut adalah usaha menyediakan akses rawatan lebih adil dan mampu milik kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau turut menegaskan, dasar itu bukan membentuk kawalan harga, sebaliknya merupakan inisiatif ke arah ketelusan maklumat dan hak pengguna untuk mengetahui harga ubat yang dijual.
Dalam pada itu, daripada sudut pengguna pula, ketelusan harga dilihat penting bagi mengelakkan caj melampau dan memastikan mereka tidak terbeban dengan kos rawatan yang tidak munasabah.
Justeru, kerajaan wajar mengambil pendekatan seimbang dengan mempertimbangkan kepentingan pesakit tanpa menekan penyedia perkhidmatan kesihatan yang juga berdepan tekanan kos.
Antara penyelesaian terbaik yang boleh dipertimbangkan ialah pelaksanaan berperingkat, penyediaan garis panduan yang jelas dan libat urus menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan.
Ketelusan harga ubat tidak seharusnya menjadi medan pertentangan antara pesakit dan doktor, sebaliknya satu usaha kolektif memperkukuh sistem kesihatan negara.
Yang penting akhirnya ialah rakyat mesti diberi keadilan untuk dapatkan harga ubat lebih murah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

