30 peratus doktor tergolong dalam kategori B40

PUTRAJAYA - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mendedahkan 30 peratus doktor di negara ini tergolong dalam kategori B40.
Bakal Presiden, Dr R Thirunavukarasu berkata, dapatan itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan pada tahun 2018 membabitkan hampir 1,800 doktor.
Menurutnya, hanya 10 peratus sahaja doktor yang benar-benar berjaya dari segi ekonomi.“Mereka semua melihat doktor sebagai kaya, tetapi kajian menunjukkan hampir 30 peratus tergolong dalam B40, manakala 30 peratus lagi cukup-cukup makan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada perhimpunan bersama 200 orang doktor bagi membantah penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap sektor kesihatan swasta.
Mereka yang terdiri daripada 11 persatuan perubatan itu menggesa kerajaan mengkaji semula penggunaan Akta 723 dalam persekitaran klinikal.
Sebaliknya, menurut mereka, pengawalseliaan ketelusan dan paparan harga ubat di klinik swasta seharusnya tertakluk di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Bermula 1 Mei lalu, semua klinik dan farmasi swasta diwajibkan memaparkan harga ubat-ubatan dengan tujuan meningkatkan ketelusan dan membantu pengguna membuat pilihan berdasarkan harga.
Langkah itu dilaksanakan mengikut Akta 723 dengan objektif meningkatkan ketelusan dalam urus niaga serta membolehkan pengguna membuat perbandingan harga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

