Trump harap pertempuran India-Pakistan berakhir segera

Donald Trump.-Agensi
Donald Trump.-Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menyatakan harapannya agar pertempuran antara India dan Pakistan yang memiliki senjata nuklear berakhir 'dengan segera', selepas tentera New Delhi melancarkan serangan dan Islamabad pula berikrar akan bertindak balas.

“Kami baru dengar mengenainya, memang menyedihkan,” kata Trump di Rumah Putih selepas kerajaan India menyatakan pihaknya telah menyerang kem di wilayah negara jirannya, susulan serangan berdarah terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India.

“Saya rasa ramai sudah menjangkakan sesuatu akan berlaku berdasarkan sejarah lalu. Mereka telah bertelagah selama berdekad-dekad, malah berabad-abad, jika benar-benar difikirkan,” tambahnya.

India dan Pakistan telah berperang dalam tiga peperangan besar sejak merdeka daripada British pada tahun 1947. Kedua-dua negara menuntut keseluruhan wilayah Kashmir, namun masing-masing menguasai sebahagian daripada kawasan yang dipertikaikan itu.

India dilaporkan sudah lama dijangka akan bertindak balas secara ketenteraan susulan kejadian tembakan yang meragut 26 nyawa di Kashmir yang ditadbir India.

New Delhi menyalahkan kumpulan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan.

Tentera Pakistan berkata, serangan udara India menyasarkan tiga lokasi di Kashmir yang ditadbir Pakistan dan dua lokasi di wilayah Punjab, kawasan paling padat penduduk di negara itu.

Islamabad mendakwa tiga orang awam termasuk seorang kanak-kanak terbunuh dalam serangan berkenaan.

Serangan India itu berlaku hanya beberapa jam selepas Jabatan Negara AS mengeluarkan gesaan baharu agar semua pihak bertenang.

Artikel Berkaitan:

“Kami terus menyeru Pakistan dan India untuk mencari penyelesaian yang bertanggungjawab demi mengekalkan keamanan jangka panjang dan kestabilan rantau Asia Selatan,” kata jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce kepada wartawan.

Kenyataan itu dibuat selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi memberi amaran untuk menghentikan aliran air rentas sempadan susulan serangan di Kashmir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!