India lancar serangan ke atas Pakistan

Beberapa kawasan termasuk Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir Pakistan, dilaporkan bergelap selepas serangan.-Agensi
Beberapa kawasan termasuk Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir Pakistan, dilaporkan bergelap selepas serangan.-Agensi
A
A
A

MUZAFFARABAD / NEW DELHI – Ketegangan antara India dan Pakistan kembali memuncak apabila tentera India melancarkan serangan udara ke atas sembilan lokasi di Pakistan dan wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan pada Rabu, mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa dan mencetuskan tindak balas daripada Islamabad.

Serangan itu dilancarkan sebagai tindakan balas terhadap insiden berdarah pada 22 April lalu di Kashmir India, yang mengorbankan 26 pelancong.

Menurut kenyataan rasmi New Delhi, operasi yang dikenali sebagai Operasi Sindoor itu hanya menyasarkan 'infrastruktur pengganas' dan bukannya kemudahan tentera Pakistan, dengan alasan serangan tersebut bertujuan menghalang ancaman terhadap India.

“Tindakan kami bersifat terancang dan tidak bertujuan untuk mencetuskan konflik yang lebih besar,” menurut kenyataan itu.

Saksi melaporkan letupan kuat, tembakan artileri dan pesawat tempur berlegar di ruang udara beberapa lokasi sempadan di Kashmir.

Beberapa kawasan termasuk Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir Pakistan, dilaporkan bergelap selepas serangan.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengesahkan bahawa Islamabad sedang memberi respons terhadap serangan berkenaan, namun tidak memperincikan langkah yang diambil.

Dalam pada itu, Ketua Menteri Punjab mengisytiharkan darurat di wilayah berkenaan dan semua hospital berada dalam kesiapsiagaan tinggi.

Pakistan mendakwa India melancarkan peluru berpandu ke tiga kawasan awam termasuk dua buah masjid, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga terbunuh dan 12 cedera.

Artikel Berkaitan:

Menteri Pertahanan Pakistan menegaskan bahawa semua lokasi yang diserang adalah kawasan awam dan bukannya kem militan.

Sementara itu, tentera India menyatakan di platform X bahawa "keadilan telah ditegakkan" selepas operasi itu.

Pasaran saham India turut terjejas dengan penurunan indeks utama NSE Nifty 50 sebanyak 1.19 peratus.

Washington menyuarakan kebimbangan berhubung situasi itu. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyifatkan konflik itu sebagai “memalukan” dan berharap ia segera reda. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!