Parlimen Belia cipta sejarah guna sistem agihan kerusi ikut peratus undi

Johari (depan, empat dari kanan) bersama pihak pengurusan, pensyarah dan penuntut Unisel Kampus Bestari Jaya.
Johari (depan, empat dari kanan) bersama pihak pengurusan, pensyarah dan penuntut Unisel Kampus Bestari Jaya.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Parlimen Belia bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menggunakan sistem agihan kerusi mengikut peratus undi buat pertama kali di negara ini.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pelaksanaan sistem itu sebagai salah satu usaha memperkasakan suara anak muda dan memastikan tiada kelompok minoriti dipinggirkan.

Menurut beliau, sistem itu dipilih bagi menggantikan kaedah tradisional 'first past the post' (majoriti mudah) yang diamalkan lebih 60 tahun dalam pilihan raya negara demi memberi peluang lebih adil dan seimbang kepada semua kumpulan.

"Sistem ini akan membolehkan tujuh parti politik ditubuhkan di kampus universiti dengan setiap parti mesti dapat sekurang-kurangnya sembilan peratus undi untuk memperoleh kerusi.

"Ini menjamin suara kecil seperti wanita yang kini hanya 13 peratus di Parlimen mendapat tempat sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Bicara Kepimpinan: Memupuk Kepimpinan Masa Hadapan' bersama mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) Kampus Bestari Jaya di sini pada Selasa.

Menurut Johari, Parlimen Belia adalah medan latihan sebenar untuk mencungkil bakat kepimpinan muda terutama di peringkat universiti lagi.

"Pemimpin bukan dilahirkan secara semula jadi, sebaliknya dibentuk melalui pengalaman dan latihan berstruktur," ujar beliau.

Beliau menegaskan, pelaksanaan Parlimen Belia urusan sepenuhnya di bawah Parlimen tanpa campur tangan kerajaan bagi memastikan generasi muda dapat merasai pengalaman sebenar sistem demokrasi bebas, telus dan tidak dipengaruhi unsur politik.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, pendaftaran belia berusia antara 18 hingga 35 tahun akan bermula September ini dan diikuti dengan pilihan raya pertama Parlimen Belia pada Januari tahun depan.

Ujar beliau, sebanyak 222 kerusi dipertandingkan secara dalam talian dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan agensi berkaitan.

"Bangunan khas untuk Parlimen Belia kini dalam peringkat akhir untuk digunakan sepenuhnya Disember ini.

“Negara seperti Jepun dan Korea Selatan berjaya kerana program pembangunan kepimpinan mereka bermula awal dan kita tidak boleh tunggu lagi dan mahu melakukannya,” tegasnya.

Dalam pada itu, Johari turut menjelaskan beberapa pembaharuan penting yang sedang dilaksanakan di Parlimen selaras dengan usaha mereformasikan institusi legislatif negara.

Beliau menjelaskan, antaranya termasuk pengembalian semula Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA) bagi memastikan pemisahan kuasa yang jelas antara legislatif, eksekutif dan kehakiman selepas lebih 30 tahun institusi itu dikawal oleh badan eksekutif.

“Parlimen kini beroperasi secara bebas dan kita juga akan mengekalkan semua jawatankuasa Parlimen secara berterusan tanpa dibubarkan apabila Parlimen dibubar,” katanya.

Tambah beliau, Parlimen Malaysia turut mengambil pendekatan kerjasama antarabangsa dengan mempelajari amalan terbaik daripada negara seperti United Kingdom, Australia dan New Zealand untuk memodenkan sistem sedia ada.

Mengulas cabaran dihadapi dalam proses itu, Johari berkata, seramai 400 kakitangan Parlimen diberi tempoh 24 bulan untuk membuat keputusan sama ada kekal di bawah struktur baharu atau kembali ke perkhidmatan awam.

"Naik taraf infrastruktur juga sedang berjalan termasuk kemudahan fizikal seperti tempat letak kereta dan sistem teknologi maklumat yang lebih cekap bagi menyokong keperluan operasi moden,” tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!