Pelancong Israel dikecam enggan tanggalkan kasut

Pelancong wanita berkenaan (tengah).-Agensi
Pelancong wanita berkenaan (tengah).-Agensi
A
A
A

BANGKOK – Seorang pelancong wanita dari Israel menjadi tular selepas enggan mematuhi peraturan asas untuk menanggalkan kasut sebelum memasuki sebuah kafe di Koh Pha Ngan, Thailand.

Rakaman video berdurasi 15 saat yang dimuat naik di laman Facebook Koh Pha Ngan Conscious Community pada 5 Mei lalu memaparkan wanita tersebut bertindak biadab dan enggan menanggalkan kasut meskipun diminta oleh kakitangan premis berkenaan.

Wanita itu turut mendakwa kehadiran pelancong Israel kononnya “meningkatkan kemakmuran ekonomi Thailand”.

Insiden itu mengundang kemarahan ramai, khususnya netizen Thailand dan warga asing yang mengecam sikap angkuhnya.

Polis Thailand turut dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Bagaimanapun, wanita terbabit tampil dengan permohonan maaf sambil mendakwa dirinya telah disalah faham dan menjadi mangsa serangan hanya kerana dia berasal dari Israel.

“Saya ingin jelaskan kenyataan saya telah diambil di luar konteks. Niat saya hanyalah untuk menyatakan pelancong Israel menyumbang kepada ekonomi Thailand,” katanya dipetik MGR Online.

Dia turut mendakwa rakaman itu dibuat oleh pelanggan lain dan bukan kakitangan premis, serta menegaskan dia dibenarkan memakai kasut kerana mengalami kesakitan pada kaki.

Namun begitu, ramai netizen tidak menerima alasan yang diberikan dan menyifatkan ia sebagai usaha untuk ‘memutar belit’ keadaan.

Insiden ini berlaku dalam suasana ketegangan berikutan peningkatan kes salah laku pelancong Israel di Thailand sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Artikel Berkaitan:

Antara insiden lain yang dilaporkan termasuk bekas anggota komando Israel yang menjadi pemandu pelancong haram di Koh Pha Ngan bersama kanak-kanak tanpa permit.

Seorang lelaki Israel membuang air besar dalam teksi di Pattaya dan enggan membayar ganti rugi sehingga polis campur tangan.

Empat pelancong Israel didenda kerana menceroboh bilik kecemasan Hospital Pai dan mengganggu pesakit.

Seorang lagi cuba menukar wang dolar Amerika palsu di Pattaya.

Situasi ini memaksa Kedutaan Israel di Thailand mengeluarkan kenyataan menggesa rakyat mereka supaya menghormati undang-undang serta budaya tempatan.

Kini, hanya kerana enggan menanggalkan kasut — satu amalan asas dalam budaya Thailand — wanita itu bukan sahaja mencetuskan kecaman, malah mencemarkan imej negaranya yang sememangnya sudah tercalar di mata dunia.-Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!