Dua wakil pembangkang dilantik ahli JKMR

SHAH ALAM – Dua pemimpin pembangkang merupakan antara tiga individu yang dilantik sebagai ahli baharu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), berkuat kuasa pada 25 April lalu.
Mereka ialah Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah; Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; dan Profesor Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, JKMR memainkan peranan penting dalam menasihati Perdana Menteri berhubung pelbagai aspek berkaitan isu rasuah serta meneliti Laporan Tahunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Menyampaikan surat cara pelantikan kepada tiga ahli baharu JKMR bagi tempoh pelantikan bermula 25 April 2025 hingga 25 April 2028, yang turut disaksikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Pelantikan ahli JKMR ini diharap dapat memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan mempertingkat integriti dan tadbir urus, sejajar aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam sistem pentadbiran negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Terdahulu, pada Mac lalu, Anwar ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 dan RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan bersetuju melantik dua ahli Dewan Negara dan empat ahli Parlimen termasuk dua wakil pembangkang ke dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen bagi menambah baik keanggotaannya.
Beliau dilaporkan berkata, pelantikan itu akan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilih sekiranya RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 itu bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bukan sekadar sebagai pindaan kecil, tetapi sebagai usaha memperkukuh doktrin pengasingan kuasa agar Parlimen benar-benar berfungsi sebagai badan legislatif yang bebas, berwibawa dan berdaya saing.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!