NPCO hanya dikeluarkan oleh MITI berkuat kuasa Selasa

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Semua Sijil Tempasal Bukan Keutamaan (Non-Preferential Certificate of Origin – NPCO) bagi tujuan eksport ke Amerika Syarikat (AS) hanya akan dikeluarkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkuat kuasa Selasa ini.
Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan penyalahgunaan laluan dagangan ke pasaran AS melalui Malaysia.
“Semua pengeluaran NPCO yang sebelum ini dikeluarkan oleh majlis perniagaan, dewan atau persatuan yang dilantik MITI akan dihentikan serta-merta.“Pada masa sama, MITI akan mempertingkat audit terhadap semua permohonan NPCO dan akan menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya, termasuk kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menghalang cubaan penyalahgunaan laluan dagangan,” katanya pada sidang akhbar selepas Sidang Khas Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul menambah, kerajaan juga bersedia untuk menjalankan siasatan anti-lambakan sekiranya industri tempatan terjejas akibat lambakan atau lonjakan import secara mendadak.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang semakan berkaitan halangan bukan tarif tidak akan menjejaskan dasar pemerkasaan vendor tempatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau penyertaan Bumiputera, sebaliknya memberi tumpuan kepada penambahbaikan prosedur teknikal.
“Bagi mengurangkan defisit perdagangan dua hala Malaysia-AS, kerajaan tidak akan melakukan pembelian besar-besaran secara membuta tuli, sebaliknya akan meningkatkan eksport berasaskan kandungan tempatan, menggalakkan pelaburan semula oleh syarikat AS serta memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi dan teknologi.
“Kita juga kekal dengan dasar berkecuali yang berpaksikan kepentingan nasional. Hubungan Malaysia-China kekal kukuh, dan kita terus menjalankan rundingan naik taraf dengan semua rakan dagangan, bukan hanya AS,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

