Seorang jemaah haji dirawat di Pusat Kesihatan Madinah

Mohd Hisham
Mohd Hisham
A
A
A

MAKKAH – Seorang jemaah haji wanita ditempatkan di wad Pusat Rawatan Madinah berikutan mengalami masalah kesihatan.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun berkata, bagaimanapun jemaah berkenaan kini berada dalam keadaan stabil.

Menurutnya, jemaah yang menerima rawatan itu akan menunggu waktu yang sesuai untuk berangkat ke Makkah.

Mohd Hisham (tengah) ketika sidang akhbar di Abraj Jenadria di Makkah pada Isnin pagi waktu tempatan.
Mohd Hisham (tengah) ketika sidang akhbar di Abraj Jenadria di Makkah pada Isnin pagi waktu tempatan.

“Setakat ini semua operasi pergerakan jemaah berjalan dengan baik, cuma ada seorang jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan di Madinah kerana mengalami gangguan kesihatan.

“Selain beliau, jemaah lain yang sudah tiba di Tanah Suci semuanya dalam keadaan sihat. Alhamdulillah,” katanya.

Justeru, Mohd Hisham meminta keluarga waris jemaah di tanah air supaya tidak bimbang berikutan Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai pasukan perubatan yang mencukupi.

“Pasukan ini akan memberi nasihat berkaitan kesihatan dan memberikan rawatan sewajarnya kepada jemaah yang tidak sihat.

“Sekiranya berlaku sebarang masalah kesihatan, saya minta jemaah segera ke klinik di bangunan penginapan yang telah kita sediakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau dalam pada itu mengingatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing berikutan keadaan cuaca yang semakin panas sama ada di Madinah mahupun di Makkah.

“Saya berharap jemaah haji sentiasa minum air yang mencukupi supaya badan kekal sihat dan jangan dedahkan diri kepada cahaya terik matahari. Mereka disarankan agar tidak keluar dari hotel pada waktu tengah hari kerana cuaca sangat panas, namun boleh keluar pada waktu pagi, petang atau malam.

“Jangan risau, setiap bangunan penginapan ada disediakan surau yang selesa untuk jemaah menunaikan solat secara berjemaah,” katanya.

Bagi mereka yang menggunakan kerusi roda, Mohd Hisham berkata, petugas TH akan memberikan bantuan bagi melancarkan pergerakan jemaah berkenaan.

“Seperti jemaah berkerusi roda yang menunaikan umrah malam tadi (Ahad), pihak kami memanggil teksi untuk menghantar mereka terus ke Masjidil Haram.

“Kerusi roda akan dibawa bersama dan ada petugas yang akan membantu mereka. Jadi, insya-ALLAH saya yakin mereka akan dapat berada di sini dengan selesa,” katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!