Maklumat haji: Pastikan terkini, sahih, tepat

ALHAMDULILLAH dan tahniah kepada semua jemaah haji Malaysia yang telah menerima jemputan dari ALLAH SWT untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini. Semoga perjalanan ini dipermudahkan segala urusan dan mendapat berkat daripada-NYA.
Untuk rekod, pada musim haji 1446H/2025M ini, seramai 31,600 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadah haji yang mana 58 peratus daripada jumlah ini terdiri daripada kalangan wanita.
Bilangan yang ramai namun tahniah diucapkan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) yang telah membuktikan pengurusan yang cemerlang sehingga mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Arab Saudi, TH sebagai model terbaik dalam urusan haji.
Namun setiap perkara pasti ada cabarannya. Dalam era digital yang serba pantas, penyebaran maklumat tidak sahih menjadi cabaran besar.
Antaranya adalah banyak informasi tular berkaitan ibadah dan pergerakan jemaah yang boleh mengelirukan, khususnya kepada warga emas atau masyarakat luar bandar yang mungkin kurang celik dengan pendedahan teknologi untuk memastikan yang mana informasi benar dan yang mana palsu.
Mungkin mereka terlalu bergantung kepada WhatsApp yang tular tanpa mengetahui informasi yang sahih dan tepat.
Ini diakui oleh Pengarah Operasi Media TH, Mohamad Naser Jaafar yang dilaporkan berkata, terlalu banyak maklumat dikongsi di platform media sosial termasuk informasi semasa ibadah haji yang boleh mengelirukan.
“Saya mohon jemaah haji dan rakyat Malaysia supaya hanya mendapatkan maklumat berkaitan daripada media arus perdana dan platform rasmi TH,” tegasnya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat TH di Makkah.
Oleh itu, sekiranya ada di kalangan jemaah yang ragu-ragu, mereka disarankan untuk hanya merujuk sumber rasmi seperti laman sesawang dan media sosial rasmi Tabung Haji, aplikasi THiJARI, serta akhbar arus perdana seperti Sinar Harian yang turut mempunyai wakil untuk melaporkan perkembangan terbaru terus dari Makkah.
Selain merujuk pejabat Tabung Haji berhampiran, dapatkan juga bantuan daripada keluarga yang boleh mengesahkan sesuatu perkara tersebut.
Bagi jemaah yang telah berada di Tanah Suci, maklumat boleh diperoleh secara langsung daripada petugas Tabung Haji yang sedia membantu.
Semoga semua jemaah haji Malaysia dapat menunaikan ibadah dengan sempurna dan kembali ke tanah air dengan haji yang mabrur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
