Rampasan dadah naik 10 kali ganda di Pahang, cecah RM84.7 juta

KUANTAN – Rampasan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang meningkat hampir 10 kali ganda bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, nilai rampasan direkodkan tahun ini mencecah RM84.7 juta, berbanding RM8.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 4,261 kes dengan 4,839 tangkapan telah dilaksanakan, melibatkan pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.
“Jumlah itu sedikit menurun berbanding tempoh sama tahun 2024 iaitu sebanyak 4,362 kes dan 4,810 tangkapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mei Tahun 2025 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di pekarangan IPK Pahang di sini, pada Isnin.
Yahaya memaklumkan, tindakan pencegahan juga dilaksanakan apabila 14 individu berjaya ditangkap berbanding 32 orang pada tahun lalu.
Jelasnya, mereka yang ditahan didapati terlibat dalam pengedaran dadah di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985.
Beliau menambah, nilai harta disita hasil aktiviti pengedaran dadah pula adalah sebanyak RM2.02 juta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
"Selain itu, sebanyak 190 pertuduhan telah dibuat di bawah Seksyen 39C ADB 1952 sepanjang tahun ini, berbanding 220 pada 2024.
“JSJN turut membuka 4,180 kertas siasatan dengan 3,753 daripadanya berjaya diselesaikan, menjadikan kadar penyelesaian kes sebanyak 90 peratus," jelas beliau lagi.
Dalam usaha membanteras sindiket pengedaran dadah, Yahaya berkata, JSJN Pahang turut berjaya menumpaskan empat sindiket dadah yang melibatkan enam tangkapan melalui Ops Terancang yang dinamakan Ops Indera.
Dalam perkembangan berlainan, Yahaya menyeru agar semua pegawai polis agar terus memegang prinsip etika kerja yang betul, selaras dengan undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.
“Saya berharap semua anggota, baik Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis, dan Pegawai Awam Kontinjen Pahang, sentiasa menjaga imej dan reputasi PDRM dalam melaksanakan tugas.
“Integriti yang tinggi adalah budaya yang perlu diterapkan dalam pasukan adalah benteng yang penting bagi memastikan kita tidak terlibat dalam sebarang salah laku yang boleh merosakkan reputasi,” tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

