48,319 PATI dihantar pulang atasi kesesakan depot

Zakaria
Zakaria
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 48,319 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah dihantar pulang ke negara asal sejak Disember tahun lalu melalui tindakan yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jumlah tersebut melibatkan tahanan yang ditempatkan di 18 depot kekal, dua depot sementara, dan enam Baitul Mahabbah di seluruh negara.

"Kapasiti keseluruhan depot hanya mampu menampung 21,530 orang, menyebabkan Imigresen terpaksa mengambil langkah segera bagi mengelakkan risiko keselamatan dan kesesakan melampau.

"Daripada jumlah tahanan yang dihantar pulang, 34,702 merupakan lelaki, 11,540 wanita, 1,176 kanak-kanak lelaki, dan 901 kanak-kanak perempuan," katanya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menjelaskan beberapa pendekatan telah diambil, termasuk penyediaan perkhidmatan feri khas.

"Kaedah ini dilaksanakan bagi memindahkan tahanan Filipina dari Pelabuhan Sandakan ke Zamboanga, Filipina, bagi tempoh dua tahun bermula 4 September 2023 hingga 30 April 2026.

"Selain itu, perkhidmatan feri sewaan turut disediakan untuk penghantaran tahanan Indonesia dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan dan dari Pelabuhan Pasir Gudang ke Tanjung Pinang, Indonesia," tambahnya.

Zakaria turut memaklumkan bahawa JIM melaksanakan Program Penghantaran Pulang Terus (Fast Track) bagi tahanan yang telah tamat menjalani hukuman.

"Kaedah ini bertujuan mempercepatkan proses pemulangan mereka ke negara asal tanpa perlu ditahan di depot.

Artikel Berkaitan:

"Ini adalah antara langkah penting untuk memastikan kelancaran pengurusan tahanan serta mencegah masalah kesesakan berpanjangan di depot seluruh negara," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!