Maritim sita bot nelayan tempatan gaji kru warga asing tanpa permit

Lima warga Myanmar termasuk tekong yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan tersebut. Maritim Pahang
Lima warga Myanmar termasuk tekong yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan tersebut. Maritim Pahang
A
A
A

KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menyita sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) kelas C selepas didapati menggajikan kru warga asing tanpa permit kerja yang sah.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, bot tersebut dikesan sekitar jam 11 pagi, kira-kira enam batu nautika dari timur muara Kuala Kuantan pada Sabtu.

Menurutnya, operasi ini dijalankan ketika rondaan rutin menerusi Op Makmur dan Op Tiris.

“Hasil pemeriksaan mendapati lima individu berada di atas vesel berkenaan termasuk seorang tekong.

“Kesemua mereka merupakan warga Myanmar berumur antara 30 hingga 44 tahun dan gagal mengemukakan permit kerja serta Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, kes tersebut disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Jelasnya, vesel bersama hasil laut seberat kira-kira dua tan metrik serta peralatan menangkap ikan telah diiring masuk ke Jeti Pernepa Kuantan Slipway untuk tindakan lanjut.

Sebuah bot nelayan tempatan kelas C disita menerusi operasi penguatkuasaan pada Sabtu. Foto ihsan Maritim
Sebuah bot nelayan tempatan kelas C disita menerusi operasi penguatkuasaan pada Sabtu. Foto ihsan Maritim

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan pemilik bot yang melanggar syarat lesen dan peraturan, terutamanya dalam aspek menggajikan pekerja asing tanpa kelulusan yang sah.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen perikanan atau kegiatan mencurigakan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera," tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!