Projek MEX II yang terbengkalai akan dinilai semula - Nanta

BUKIT KAYU HITAM - Projek sambungan Lebuhraya Maju (MEX II) yang menghubungkan Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berdepan masalah, namun usaha sedang giat dijalankan pelbagai pihak bagi memastikan ia dapat diteruskan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan diakui berdepan pelbagai cabaran, namun kerajaan tidak berdiam diri dan komited mencari jalan penyelesaian.
Menurutnya, kerajaan sedang bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi menyelesaikan kelewatan berpanjangan projek terbengkalai itu.
“Seperti semua maklum, projek MEX II menghadapi isu penyempurnaan. Namun berita baiknya ialah semua pihak terbabit termasuk Kementerian Kewangan, Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang berusaha selesaikan perkara ini," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan kerja ke Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, pada Sabtu.
Projek Lebuhraya MEX II sepanjang 18 kilometer dimulakan pembinaannya pada 2016, dijadualkan siap pada Disember 2019, namun terhenti akibat masalah kewangan dan kini bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Alexander mengakui projek lebuh raya terbabit berdepan masalah aliran tunai berpanjangan, menyebabkan kerja-kerja pembinaan terhenti.
“Pemaju projek juga sedang usaha dapatkan sumber pembiayaan baharu bagi meneruskan semula kerja pembinaan.
"Buat masa ini, perkara ini masih dalam fasa penyelesaian, jadi saya tidak mahu ulas secara terperinci lagi," tambahnya.
Menurutnya lagi, beberapa siri mesyuarat penting dijangka berlangsung dalam masa terdekat, yang akan dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya.
"Mesyuarat itu dijangka menentukan hala tuju seterusnya, kita akan lihat perkembangan selepas itu," katanya.
Projek sambungan sepanjang 18 kilometer ke Lebuhraya Maju ini kembali menjadi perhatian susulan siasatan SPRM berhubung dakwaan tuntutan palsu membabitkan RM360 juta.
Media sebelum ini melaporkan empat individu, termasuk seorang bergelar 'Datuk Seri', ditahan berkaitan siasatan projek tersebut yang dipercayai mempunyai kaitan dengan dana diperoleh melalui penerbitan sukuk untuk projek tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

