Lapangan Terbang Gwdar baharu Pakistan mulakan operasi komersial

NEW DELHI - Lapangan Terbang Antarabangsa baharu Gwadar di Pakistan telah memulakan operasi komersial dengan ketibaan penerbangan daripada Pakistan International Airlines (PIA) pada Isnin.
Lapangan Terbang Antarabangsa baharu Gwadar, sebahagian daripada Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) bernilai AS$65 bilion dan terletak 25 kilometer dari Pelabuhan Gwadar di Laut Arab, dijangka meningkatkan hubungan global rantau itu dengan ketara.
Penerbangan pertama PK503 PIA dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah Karachi diberi sambutan penghormatan tembakan meriam air apabila mendarat di Gwadar pada waktu pagi, seperti yang dipaparkan oleh saluran televisyen.
Menteri Pertahanan dan Penerbangan Pakistan, Khawaja Asif dan Ketua Menteri Balochistan, Sarfraz Bugti turut hadir pada majlis itu.
Dengan keluasan 1,740 hektar, kemudahan ini mempunyai landasan sepanjang 3,658 meter dengan lebar 75 meter.
Dibangunkan dengan geran AS$230 juta oleh China, lapangan terbang ini mempunyai kapasiti untuk mengendalikan empat juta penumpang setahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
