KPDN laksana ujian perintis permudah pelancong Brunei isi RON97

Armizan mengisikan petrol RON97 di sebuah kenderaan sebagai gimik pelancaran produk RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis, Papar.
Armizan mengisikan petrol RON97 di sebuah kenderaan sebagai gimik pelancaran produk RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis, Papar.
A
A
A

PAPAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan ujian rintis membekalkan petrol RON97 di Stesen Minyak Petronas Kimanis bagi memastikan pelancong dari Brunei dan penduduk tempatan yang memilih bahan api tersebut mendapat bekalan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu dilaksanakan hasil perbincangan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Dagangan Berhad (PDB) susulan aduan mengenai kesukaran mendapatkan bekalan RON97 di kawasan Pantai Barat Selatan Sabah.

“Bekalan petrol RON97 terhampir hanya boleh diperoleh di beberapa stesen Petronas seperti di Lintas-Kepayan, Jalan Mat Salleh, Penampang dan lokasi-lokasi lain. Daripada 260 stesen minyak di seluruh Sabah, hanya 37 stesen membekalkan petrol RON97.

“Sehubungan itu, KPDN mengambil langkah bersesuaian untuk memastikan ketiadaan bekalan RON97 tidak menjejaskan jumlah pelancong dan pelawat dari Brunei. Ujian rintis ini membolehkan bekalan tersedia kepada penduduk tempatan di kawasan sekitar melalui pelaksanaan di Stesen Petronas Kimanis.

“Stesen ini dipilih kerana lokasinya yang strategik di sepanjang Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dan menyokong laluan dari Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu, iaitu kira-kira 205 kilometer jaraknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan produk RON97 di stesen berkenaan pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, ujian rintis itu menggunakan Sistem Kontena Mini Mudahalih (PCS) berkapasiti 5,000 liter untuk tempoh percubaan selama enam bulan sebelum pelaksanaan sepenuhnya.

“Pendekatan ini bertujuan menilai keberkesanan sistem penyimpanan dan penjualan bahan api dalam memenuhi permintaan pengguna serta meminimumkan kesan kewangan jika jualan tidak mencapai sasaran.

“Tempoh percubaan ini juga akan membolehkan pemantauan dan analisis terhadap operasi, kestabilan bekalan, corak permintaan pelanggan serta keperluan logistik penghantaran bagi memastikan pelaksanaan yang lebih efisien dan mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa ini, petrol RON97 dijual pada harga RM3.18 seliter dan ia merupakan bahan api tidak bersubsidi.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan bahawa KPDN turut melaksanakan mekanisme Rekod Log Pemantauan di stesen minyak Sabah, Sarawak dan Labuan sejak 1 Disember tahun lalu.

“Mekanisme ini melibatkan pemantauan berkala oleh jentera penguat kuasa KPDN, hasil keputusan Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di Sabah, Sarawak dan Labuan pada 14 Disember 2024 lalu.

“Mesyuarat tersebut dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof.

“Pemantauan melibatkan keseluruhan 538 stesen minyak di ketiga-tiga wilayah,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!