Jangan abai perancangan kewangan walaupun tertekan kos sara hidup

SHAH ALAM - Tekanan kos sara hidup tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk golongan muda mengabaikan perancangan kewangan.
Pakar Kewangan, Kenny Chong Ching Shon berkata, cara berfikiran sedemikian perlu diubah bagi memastikan golongan itu mempunyai simpanan asas mencukupi semasa bersara.
Menurutnya, kebanyakan golongan muda kini gemar mengamalkan gaya hidup bebas dan tiada perancangan kewangan jangka panjang termasuk memiliki aset sendiri.
“Ramai anak muda hari ini dibebani dengan pinjaman pelajaran selepas tamat pengajian. Mereka hanya memperoleh gaji sederhana, dan memiliki rumah menjadi satu impian yang semakin jauh.
“Pada masa depan, golongan muda mungkin lebih gemar bekerja secara jarak jauh dan tidak memiliki kereta kerana kosnya yang tinggi serta susut nilai,” ujarnya.
Beliau berkata, celik kewangan bukan untuk menjadikan seseorang kaya tetapi sebagai usaha untuk memiliki simpanan asas bagi menyara kehidupan hari tua.
“Saya amat memahami tekanan kewangan yang dihadapi oleh golongan muda, tetapi itu bukan alasan untuk langsung mengabaikan perancangan kewangan,” katanya.
Ching Shon mengkategorikan anak muda kepada tiga kumpulan, pertama berpendapatan tinggi dan disokong oleh keluarga berada serta mengejar gaya hidup materialistik.
Menurutnya, kategori kedua ialah penyimpan berhati-hati iaitu golongan yang berbelanja secara bijak dan sanggup melakukan kerja sampingan hujung minggu untuk menambah pendapatan.
“Ketiga ialah golongan pembelanja yang berbelanja tanpa sedar kerana masih bergantung kepada sokongan kewangan ibu bapa.
“Golongan ini makin ramai dalam kalangan keluarga Cina kelas pertengahan. Persoalannya, sampai bila?” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
