Keputusan rayuan kerajaan isu pencen pesara ATM ditangguh ke 26 Mei

Sebahagian daripada ahli veteran ATM mendengar ulasan Mohamed Haniff (lima dari kiri) selepas hujahan berhubung penyelarasan pencen pesara di Mahkamah Rayuan Putrajaya, 21 Januari lalu.
Sebahagian daripada ahli veteran ATM mendengar ulasan Mohamed Haniff (lima dari kiri) selepas hujahan berhubung penyelarasan pencen pesara di Mahkamah Rayuan Putrajaya, 21 Januari lalu.
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan rayuan kerajaan Malaysia, Majlis Angkatan Tentera Malaysia dan dua pihak lain berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada pelarasan pencen pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang sepatutnya diputuskan Selasa depan, ditangguhkan ke 26 Mei ini.

Penangguhan itu menyusul selepas prosiding pada 26 Januari lalu, di mana panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Hashim Hamzah, mendengar hujahan daripada Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambali dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.

Panel tersebut turut dianggotai oleh Hakim Datuk Wong Kian Kheong dan Datuk Ismail Brahim, yang pada masa itu menetapkan 3 Februari sebagai tarikh pengurusan kes, sebelum kemudian menetapkan 6 Mei untuk keputusan.

Bagaimanapun, tarikh tersebut kini ditangguhkan kepada 26 Mei.

Mohamed Haniff Khatri yang mewakili 50 pesara ATM, mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, pihak-pihak yang terlibat telah dimaklumkan mengenai penangguhan keputusan itu menerusi notis mahkamah.

Sebelum ini, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman pemula yang difailkan oleh Mior Rosli Mior Md Jaafar bersama 49 veteran ATM lain pada 17 November 2022, yang menuntut pelarasan pencen bagi mereka yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Dalam saman itu, plaintif menamakan kerajaan, Majlis Angkatan Tentera, Menteri Kanan Pertahanan Malaysia dan Majlis Angkatan Tentera sebagai defendan pertama hingga keempat.

Plaintif memohon pengisytiharan bahawa para defendan telah memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia 1972, kerana gagal menyelaras pencen baharu untuk pesara ATM yang bersara sebelum 1 Januari 2013.

Artikel Berkaitan:

Mereka turut memohon agar pencen semua pesara ATM yang bersara sebelum tarikh tersebut diselaras mengikut kadar dan cara sebagaimana yang diterima pesara selepas 1 Januari 2013.

Ini termasuk keperluan meminda Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran dan Faedah-Faedah Lain) 1982 untuk memasukkan peruntukan penyelarasan pencen baharu sebagaimana yang diarahkan oleh mahkamah.

Plaintif mendakwa ketidakselarasan tersebut merupakan satu bentuk pelanggaran hak asasi yang dijamin di bawah Perkara 147 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Mereka turut menyuarakan rasa terkilan kerana pencen yang diterima jauh lebih rendah berbanding pesara yang bersara selepas 2013.

Menurut mereka, jurang pencen itu menafikan hak untuk menikmati bayaran setara dan kenaikan yang sama, sekali gus mewujudkan ketidaksamarataan yang jelas antara dua kumpulan pesara ATM.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!