Tiga premis makanan ada najis tikus, lipas diarah tutup

HULU SELANGOR – Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) telah mengarahkan tiga premis makanan ditutup serta-merta selepas didapati gagal mematuhi piawaian kebersihan dalam dua operasi berasingan, Ops Suci dan Ops Target yang dijalankan pada 28 dan 29 April lalu.
Menurut kenyataan MPHS, dua daripada enam premis yang diperiksa dalam Ops Suci diarahkan tutup selama 14 hari kerana melanggar pelbagai peraturan kebersihan dan keselamatan makanan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk kehadiran najis tikus dan lipas, pengendali makanan tanpa sijil latihan serta tidak menerima suntikan tifoid,” jelas kenyataan itu menerusi Facebook rasmi MPHS pada Khamis.
Turut dikesan ialah pengurusan bahan mentah yang tidak sistematik, peti sejuk tidak diselenggara, sisa makanan dibuang ke dalam longkang awam, penyimpanan bahan makanan berhampiran tempat sampah, kehadiran lalat serta dapur yang kotor.

“Peralatan memasak tidak bersih, pengendali makanan tidak memakai pakaian pelindung serta tidak menggunakan kasut bertutup turut menjadi punca tindakan diambil,” tambahnya.
Sebanyak 23 kompaun kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Ops Suci dijalankan, melibatkan 9 kompaun oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (JPSPPA) bawah Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan 2007, 11 kompaun oleh Jabatan Penguat Kuasa MPHS, dan 3 kompaun oleh Jabatan Bangunan MPHS.
Sementara itu, sebuah lagi premis turut diarahkan ditutup serta-merta dalam Ops Target susulan pelanggaran kebersihan yang serius.
“Empat kompaun kesalahan turut dikeluarkan dalam operasi ini, iaitu dua oleh JPSPPA bawah UUK Establisymen Makanan 2007 dan dua lagi oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Selangor bawah Akta Makanan 1983,” kata MPHS.
MPHS menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana premis makanan yang gagal mematuhi standard kebersihan dan keselamatan, demi menjaga kesihatan dan kesejahteraan orang awam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
