Insentif rawatan penyakit tibi RM800 untuk golongan B40

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor meneruskan insentif Rawatan Penyakit Tuberculosis (tibi) RM800 sebagai usaha berterusan memerangi penularan penyakit berkenaan dalam kalangan penduduk.
EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin memberitahu insentif tersebut menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) demi memastikan pesakit dapat meneruskan rawatan hingga sembuh.
“Usaha ini mencerminkan komitmen Selangor dalam memastikan pesakit terutama B40 dapat meneruskan rawatan secara konsisten hingga mencapai kesembuhan sepenuhnya,” katanya.
Beliau juga menjelaskan Malaysia pada tahun lalu mencatat sebanyak 26,183 kes tibi dan kira-kira 20 peratus daripadanya atau 5,337 kes berlaku di Selangor.
Katanya, kadar penyakit itu yang menunjukkan peningkatan purata 2.5 peratus setiap tahun sejak 2020, menjadikan keperluan terhadap keperluan rawatan semakin lama semakin mendesak.
“Kerjasama kerajaan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dan Persatuan Bagi Mencegah Penyakit Tibi Malaysia membuahkan hasil apabila kadar kejayaan rawatan naik daripada 80 peratus pada 2020 kepada 88 peratus pada 2024,” katanya.
Jamaliah memberitahu JKNS berperanan penting mendepani cabaran semasa berkait penyakit tibi dengan tumpuan diberi kepada aspek pengesanan awal, penyediaan rawatan dan pendidikan awam.
Katanya, teknologi kesihatan termasuk penggunaan ultra portable X-ray berteknologi tinggi yang disokong kecerdasan buatan meningkatkan ketepatan dan kepantasan diagnosis tibi.
Menurut beliau, ujian makmal terkini serta formulari ubat mesra kanak-kanak yang diperkenal Kementerian Kesihatan turut memperkukuh usaha merawat pesakit pada semua peringkat usia.
“Pendekatan melalui inovasi perubatan ini diharap dapat menyelamatkan lebih banyak nyawa dan mengurangkan beban penyakit dalam komuniti,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

