Isu klip rakaman audio: Mohamad Ali cabar Ab Rauf buat laporan polis

KUALA LUMPUR - Bekas Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mencabar Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh supaya tampil membuat laporan polis bagi menafikan penglibatannya dalam satu rakaman audio tular yang didakwa berkaitan kes rasuah.
Katanya, Ab Rauf tidak perlu terus berdolak-dalik berhubung isu yang didakwanya sebagai konspirasi jahat, rasuah dan fitnah terhadap dirinya.
“Bagi menamatkan cerita, saudara (Ab Rauf) mesti membuat satu laporan polis bagi menyatakan bahawa audio atau suara yang tular itu bukan suara daripada kamu.
“Tetapi kalau kamu cuba berdolak-dalik, saya ingin tegaskan bahawa secara terbuka, saya berani mengatakan bahawa suara yang tular itu adalah suara Rauf bin Yusoh,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.
Hadir pada sidang akhbar tersebut ialah aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard dan peguam, Rafique Rashid Ali.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Ab Rauf menyifatkan penyebaran beberapa audio tular di media sosial yang mirip suaranya sebagai perbuatan golongan kecewa selain fitnah terhadap dirinya.
Terdahulu, Mohamad Ali membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat audio tular berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kira-kira jam 1.30 petang Khamis.
Dalam pada itu, Mohamad Ali berkata bahawa audio yang tersebar luas itu telah menyebabkan dirinya ditahan selama empat hari untuk siasatan, namun beliau tetap menegaskan keyakinannya terhadap profesionalisme pihak polis dalam menjalankan siasatan secara adil.
Beliau turut memaklumkan telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan ujian forensik ke atas rakaman suara berkenaan di tiga lokasi antarabangsa, iaitu di London, Bangkok dan Jakarta, menerusi syarikat yang diiktiraf di peringkat global.
“Saya akan padankan hasil tiga analisis ini untuk saya pamerkan, bagi membuktikan sama ada forensik di negara kita ini canggih ataupun sebaliknya. Ia (audio) seakan-akan... tapi bukan,” katanya, sambil memaklumkan keputusan ujian itu dijangka diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi.
Sebagai rekod, Mohamad Ali yang juga Timbalan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum itu ditahan pada jam 6.30 petang Isnin ketika pasukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu rumahnya di Tangga Batu, Melaka.
SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka, dan mereka dibebaskan kira-kira jam 9 malam pada hari yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!