Fitnah audio perbuatan golongan kecewa - Ab Rauf

MELAKA - Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menyifatkan penyebaran beberapa audio tular di media sosial yang mirip suaranya merupakan perbuatan golongan kecewa.
Ab Rauf berkata, beliau telah biasa dengan drama permainan politik seumpama itu yang dilakukan golongan terbabit semata-mata untuk meraih simpati.
Malah menurutnya, sebelum ini juga pernah dituduh seperti ini iaitu fitnah memperkosa seorang wanita di sebuah hotel dan yakin ia daripada sumber yang sama.
Katanya, fitnah yang dilakukan golongan kecewa itu sudah pasti untuk menjatuhkan karakter seseorang pemimpin supaya tidak layak untuk menjadi mentadbir dan pemimpin negeri.
"Saya nak beritahu saya dah jemu dengan sandiwara-sandiwara ini, saya yakin ada 30 siri (audio) lagi dia cuba nak menjatuhkan imej Ketua Menteri ini.
"Tetapi saya nak beritahu bahawa dalam Melaka kita sudah masak sangat dengan agenda yang dimainkan pemain-pemain politik yang kecewa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Seri Negeri di sini pada Selasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara mengakui, bukan sahaja dirinya yang menerima fitnah seperti itu, malah Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin turut pernah menerima nasib sama menjadi mangsa fitnah.
Ujarnya, rumah beliau juga pernah diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai sebagai usaha untuk beliau hilang kelayakan bertanding sebagai calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
"Saya tak tuduh pun orang itu buat tapi saya tahu sumbernya daripada mana.
"Saya disiasat SPRM dan saya tak kecoh seperti mana yang kecoh sekarang ini, walaupun kita tahu daripada sumber mana yang boleh menyebabkan perkara ini berlaku," katanya.
Terdahulu tular video berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial sehari selepas Ab Rauf membuat penafian beliau berkaitan penahanan mantan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa lalu.
Dalam video terbabit tertera kenyataan media individu itu dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu yang salah satunya didakwa mirip suara Ab Rauf yang mana di penghujung klip video disebut individu bernama ‘Ali.'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!