OpenDOSM rekod 8 juta capaian, Malaysia terunggul ODIN

PUTRAJAYA – Platform data terbuka negara, OpenDOSM NextGen merekodkan hampir 8 juta capaian halaman sejak dilancarkan pada tahun 2023, dengan purata 23,290 paparan harian setakat 30 April lalu.
Lebih 144,000 penerbitan statistik turut dimuat turun oleh pengguna, membuktikan minat tinggi masyarakat terhadap maklumat rasmi dan terkini negara.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lonjakan ini selari dengan pengiktirafan antarabangsa apabila Malaysia dinobatkan sebagai negara nombor satu dunia dalam Penilaian Inventori Data Terbuka (ODIN) 2024/25 oleh Open Data Watch, mengatasi lebih 180 negara lain dengan skor keseluruhan 90 daripada 100.
Menurutnya, kejayaan itu adalah bukti komitmen kerajaan dalam mentransformasikan sistem statistik nasional agar lebih telus, mudah diakses, dan memberi impak terus kepada kehidupan rakyat.
"Ini adalah hasil daripada transformasi menyeluruh sistem penyampaian data negara yang kini lebih terbuka, mudah diakses melalui telefon pintar, dan menyokong teknologi moden seperti sistem integrasi data (API), pemetaan lokasi geografi (geospatial), serta data terperinci mengikut kawasan kecil seperti daerah dan kampung," katanya dalam temu bual khas bersama media yang diadakan di Putrajaya pada Rabu.
Tambahnya, antara pembaharuan utama yang mendapat perhatian penilai antarabangsa ialah penerbitan buku data khusus bagi setiap Ahli Parlimen dan ADUN yang memaparkan maklumat sosial dan ekonomi mengikut lokaliti masing-masing dalam bentuk digital dan bercetak.
“Dalam usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam penilaian ODIN, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menubuhkan pasukan khas bagi menangani jurang liputan dan keterbukaan data yang dikenal pasti dalam penilaian ODIN 2022/23.
“Dari aspek liputan data, fokus diberikan kepada statistik berdasarkan jantina dan data di peringkat daerah, termasuk penyusunan semula strategi secara menyeluruh pada Februari 2024 melibatkan semua bahagian dalam jabatan,” katanya.
Selain itu, pengumuman metodologi baharu ODIN turut mendorong DOSM memberi keutamaan kepada penerbitan data berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), sejajar dengan keperluan penilaian global semasa.
Bagi aspek keterbukaan data, langkah besar telah diambil dengan migrasi set data utama daripada portal sedia ada seperti MysIDC dan eStatistik ke platform baharu OpenDOSM.
Jelas Mohd Uzir, versi terkini OpenDOSM NextGen menampilkan sistem lebih mesra pengguna, telus, dan selaras dengan dasar serta undang-undang kebangsaan.
“Inisiatif ini bukan sekadar memudahkan akses, malah merapatkan jurang maklumat antara pembuat dasar dan rakyat. Kita juga mengadakan taklimat kepada Ahli Parlimen dan media supaya penggunaan data lebih menyeluruh dan berimpak,” jelasnya.
Katanya, OpenDOSM telah membantu memperkukuh amalan penyelidikan berasaskan bukti dalam kalangan pembuat dasar, penyelidik, serta pengguna umum melalui data yang mudah dicapai dan difahami.
"DOSM turut memperkenalkan ODIN Self-Assessment Dashboard bagi memantau secara masa nyata kemajuan liputan dan keterbukaan data, sekali gus memastikan penambahbaikan berterusan dalam penyampaian statistik negara.
"Antara ciri baharu di platform tersebut termasuk Advanced Release Calendar (ARC) yang diselaraskan dengan portal rasmi DOSM, serta fungsi langganan e-mel automatik untuk memaklumkan pengguna tentang penerbitan data baharu," ujarnya.
Mohd Uzir turut berkongsi bahawa platform OpenDOSM kini mendapat perhatian luar negara. Negara seperti Qatar telah menyatakan minat terhadap pendekatan Malaysia dan DOSM telah dijemput untuk berkongsi pengalaman serta amalan terbaik di peringkat antarabangsa.
"DOSM juga membangunkan sistem untuk data sektor pertanian dan kalkulator jangka hayat bagi menilai tahap kesihatan mengikut kawasan, serta statistik tingkah laku seperti tempoh masa bersama keluarga dan penggunaan ubat-ubatan," katanya.
Menurutnya, semua data dikemas kini secara berkala mengikut jenis — bulanan, suku tahunan, atau tahunan — bagi memastikan ketepatan dan kebolehgunaan dalam analisis semasa.
“Negara yang kuat memerlukan sistem statistik yang mantap. Semua keputusan dasar, kewangan, pendidikan, dan sosial perlu berpandukan data sahih,” katanya.
Mohd Uzir juga menekankan bahawa literasi data perlu diperluaskan agar rakyat dapat menggunakan statistik rasmi dalam kehidupan harian, termasuk merancang belanjawan keluarga, membuat tuntutan pindah tugas, dan menilai keperluan kawasan.
“Data ini bukan lagi hak eksklusif kerajaan atau ahli akademik. Ia milik rakyat, untuk dimanfaatkan bersama dalam membina negara.
"Dengan pencapaian ini, Malaysia bukan sahaja mencatat sejarah dalam penarafan ODIN, malah dijangka menjadi rujukan utama dalam pembangunan data terbuka serantau dan global," katanya.
Tegasnya, literasi data perlu diperluas kepada masyarakat umum supaya mereka dapat menggunakan maklumat statistik untuk tindakan harian daripada perancangan belanjawan keluarga hingga ke penglibatan dalam proses demokrasi.
“Data ini bukan sekadar nombor. Ia adalah cerminan realiti. Bila digunakan dengan betul, ia memberi kuasa kepada rakyat dan kecekapan kepada kerajaan,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan ini bukan penamat, sebaliknya menjadi permulaan untuk memperkukuh peranan statistik dalam semua aspek pembangunan negara, dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebagai hab data terbuka serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

