Lelaki ditahan bersama syabu, aset mewah hampir RM1 juta disita

Mohd Khairi.
Mohd Khairi.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah premis kosmetik yang tidak beroperasi di Kampung Paya Keladi di sini pada Isnin lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, suspek ditahan kira-kira jam 8.40 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Terengganu.

“Hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek telah menemui satu plastik hijau yang mengandungi dadah jenis syabu (sejuk) seberat 1.02 kilogram.

“Nilai pasaran keseluruhan dadah tersebut dianggarkan berjumlah RM32,000 dan boleh digunakan oleh seramai 6,000 orang penagih,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam Rabu.

Menurut beliau, susulan tangkapan itu, polis turut menyita harta milik suspek yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah bernilai RM981,500.

Jelasnya, antara yang disita ialah tiga kereta jenis Toyota Alphard, Mini Cooper Countryman dan Range Rover, wang tunai RM7,700 serta pelbagai barangan kemas seperti gelang tangan, rantai leher dan gelang kaki.

“Saringan ujian awal mendapati suspek positif dadah jenis nimetazepam dan kini direman selama tujuh hari bermula 29 April hingga 5 Mei 2025 di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengesan saki-baki rangkaian sindiket yang dipercayai masih bebas.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah melalui talian hotline JSJN (011-67351234),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!