Tidak mustahil makin ramai PATI masuk sebab nak jadi jutawan

MERAK JALANAN tertarik dengan laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu mengisahkan tentang pekerja dari seberang, Indonesia di negara kita kini lagaknya seperti ‘T20’.
Ini semua sebab duit kita melambung. Kalau tukar RM1,000 boleh cecah hampir Rp4 juta. Nilai yang amat besar hampir menyamai Upah Minimum Provinsi (UMP) di Jakarta yang berjumlah Rp5 juta.
Maka, ketika ini ramailah pekerja kilang, pekerja pembinaan, tukang cuci dan bibik ambil kesempatan hantar duit buat keluarga ke kampung halaman.
Merak Jalanan cuba bertanyakan dengan seorang kawan dari Indonesia tentang apa yang boleh dibuat dengan Rp4 juta. Tersenyum dia dengan soalan itu sambil menghirup kopi panas.
Ceritanya, dengan Rp4 juta, keluarga di kampung antaranya boleh membeli stok barangan dapur asas untuk sebulan atau lebih, boleh makan di luar hampir setiap hari selama sebulan jika bajet sederhana, cukup untuk kos perjalanan seharian selama sebulan atau cukup untuk menampung kehidupan orang bujang bagi tempoh dua hingga empat minggu.
Itu kalau dikirim RM1,000. Kalau lebih, katanya, ibu bapa di kampung boleh buat kenduri jamu orang kampung dan beli lembu seekor. Betul-betul jadi T20 katanya sambil ketawa.
Tapi, katanya, dalam keadaan duit ringgit melambung tinggi, Malaysia perlu lebih berhati-hati kerana tidak mustahil akan banyak pendatang haram cuba masuk melalui pintu tidak sah.
Atau yang masuk secara sah atas tiket melancong tetapi melencong untuk bekerja.
Sebab di Malaysia mudah untuk meraih pendapatan dan orang-orang di sini terlampau baik berkongsi rezeki.
Ada benarnya apa yang kawan Merak Jalanan suarakan itu. Dalam rasa senang, dia tetap mengingatkan kerajaan kita terutamanya pihak berkuasa agar memperketatkan pintu masuk negara.
Sedangkan sebelum duit Indonesia jatuh pun ramai pendatang asing tanpa izin (PATI), inikan pula di kala musim boleh jadi jutawan segera!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
