Bekas suami buat hal, ibu tunggal diugut along

IPOH - Gara-gara bekas suami tidak melunaskan pinjaman along, seorang ibu tunggal kini hidup dalam ketakutan selepas diugut bunuh oleh sindiket wang pinjaman tidak berlesen itu.
Ibu tunggal yang juga seorang guru dikenali sebagai Lau, 47, berkata, dia menerima ugutan menerusi panggilan telefon daripada individu yang mendakwa bekas suaminya meminjam wang berjumlah RM1,000 yang kemudian meningkat kepada RM10,000.
Lau memberitahu, sindiket itu mengugut mahu membunuhnya dan empat orang anak berusia antara 10 hingga 17 tahun termasuk dua adik perempuannya jika hutang yang dipinjam oleh bekas suami tidak dibayar.
"Mimpi ngeri kami sekeluarga bermula Isnin lalu apabila saya menerima mesej dan panggilan ugutan daripada along yang mendesak supaya membayar wang yang dipinjam bekas suami.
"Tidak cukup dengan itu, along kemudian membuat hantaran di kumpulan komuniti Facebook memaparkan gambar saya bersama anak-anak dengan nota ugutan supaya membayar balik hutang bekas suami," katanya dalam sidang media di Bangunan MCA Perak di sini pada Rabu.
Lau berkata, sejak itu dia bimbang akan keselamatan diri dan keluarganya.
"Saya telah menyatakan bahawa saya bukan lagi isteri kepada bekas suami dan tidak tahu-menahu tentang sebarang hutang yang dibuat olehnya, tetapi along tetap meminta saya menjelaskan hutang tersebut.
"Kali terakhir saya menerima panggilan ialah semalam, menyatakan bahawa saya hanya perlu membayar RM1,500 dan menyertakan sekali surat cerai untuk memastikan mereka tidak mengganggu saya lagi di rumah serta tidak membuat kacau di sekolah jika saya tidak menurut arahan," katanya yang telah berpisah dengan bekas suami sejak Julai 2024.
Wanita itu berkata, dia telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Isnin lalu serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 25 April, dan hantaran di Facebook telah pun diturunkan.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan dan Aduan MCA Perak, Yuen Chan How berharap pihak berkuasa dapat memburu dan mengambil tindakan sewajarnya bagi membanteras kegiatan jenayah ini.
"Sindiket along kini semakin berani kerana bukan sahaja mengugut peminjam, bahkan ahli keluarga mereka untuk membayar hutang," katanya. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!