Bekas suami Kim Seri ditahan isu penipuan pakej pelancongan

Bekas suami kepada pempengaruh yang dikenali sebagai Kim Seri ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penipuan pakej pelancongan ke Korea. Gambar hiasan
Bekas suami kepada pempengaruh yang dikenali sebagai Kim Seri ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penipuan pakej pelancongan ke Korea. Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas suami kepada pempengaruh yang dikenali sebagai Kim Seri ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam penipuan pakej pelancongan ke Korea.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, suspek yang berusia 41 tahun itu merupakan pemilik akaun Syarikat Cikgu Kimchi Trading yang digunakan untuk menerima pembayaran daripada mangsa terpedaya melalui promosi di aplikasi TikTok.

“Tangkapan pertama terhadap suspek dibuat pada 21 April lalu dan dia kini masih dalam tahanan polis Johor untuk siasatan lanjut.

"Hasil semakan mendapati sebanyak lapan kertas siasatan telah dibuka terhadap akaun terlibat di daerah Johor Bahru Selatan, Kota Tinggi, Seri Alam, Iskandar Puteri, Muar dan Kluang," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, kertas siasatan terhadap suspek itu akan dikemukakan ke pejabat timbalan pendakwa raya untuk nasihat selanjutnya.

Pada masa sama, Kumar memaklumkan bahawa siasatan mendapati suspek turut terlibat dengan modus operandi yang sama di kontinjen lain.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai beberapa individu didakwa menjadi mangsa penipuan agensi pelancongan milik pempengaruh tempatan yang menetap di Korea Selatan dengan jumlah kerugian hampir RM500,000.

Artikel Berkaitan:

Kim Seri atau nama sebenarnya Seri Azlina telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan berjanji akan memulangkan wang pelanggan yang terjejas sebelum atau 1 Februari 2025.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!