SPRM buka kertas siasatan kes seludup barang bahaya di KLIA

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima satu maklumat berkaitan isu penyeludupan barangan berbahaya menerusi kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang dipercayai mempunyai unsur rasuah.
Menurut sumber, kegiatan penyeludupan barangan berkenaan yang tidak mengikut standard operasi prosedur (SOP) meletakkan kawasan KLIA terdedah kepada isu ancaman keselamatan terutama kejadian dua kebakaran yang berlaku pada tahun lalu.
"Maklumat melibatkan kegiatan penyeludupan barangan berbahaya itu telah diterima pada awal tahun ini dan susulan itu SPRM telah membuka satu kertas siasatan.
"Berdasarkan siasatan awal, barangan berbahaya termasuk bahan kimia itu diseludup masuk dengan diikrarkan sebagai produk isi rumah," katanya pada Rabu.
Sumber berkata, SPRM kini sedang menyiasat syarikat serta pihak terlibat, seterusnya mengenal pasti isu kelemahan tatakelola yang menyebabkan barangan berbahaya berkenaan mudah diseludup masuk.
Kata sumber, SPRM akan mengadakan kerjasama dengan pengurusan lapangan terbang terbabit termasuk agensi-agensi penguatkuasaan berkaitan serta tidak menolak kemungkinan akan memanggil pihak-pihak tertentu untuk tujuan siasatan.
Sementara itu, pihak SPRM yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan siasatan ke atas kes berkenaan dan ia dilakukan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!