Sindiket ejen haram 'bersaudara' tawar palsu dokumen, permit kerja tumpas

KUALA LUMPUR – Sindiket yang menawarkan perkhidmatan pemalsuan dokumen dan pengurusan permit kerja warga asing terbongkar dalam Operasi Khas di dua lokasi sekitar Jalan Sultan Ismail, di sini, pada Isnin.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menahan empat individu termasuk seorang lelaki warga Bangladesh yang dipercayai dalang utama sindiket.
"Turut ditahan ialah tiga lelaki warga asing lain masing-masing dari Bangladesh, India dan Indonesia yang disyaki bertindak sebagai ejen.
"Siasatan awal mendapati dua individu warga Bangladesh terbabit mempunyai hubungan persaudaraan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Zakaria berkata, Operasi Khas yang bermula pada jam 11.50 pagi itu dilaksanakan hasil risikan selama dua minggu oleh pasukan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kesemua suspek berumur antara 23 hingga 48 tahun. Semakan mendapati tiga daripada mereka memiliki Pas Penggajian yang masih sah manakala seorang lelaki warga Indonesia pula dikesan tinggal lebih masa," katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, pasukan operasi turut menyita lesen majlis, dokumen perniagaan, Sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan rekod syarikat.
"Kita turut menyita 48 naskhah pasport Bangladesh, dua pasport India, enam pasport Indonesia, dua pasport Pakistan serta wang tunai sebanyak RM2,400," katanya.
Zakaria berkata, modus operandi sindiket yang aktif sejak setahun lalu adalah mempromosi tawaran perkhidmatan Imigresen berkaitan urusan permit kerja melalui media sosial.
"Kadar bayaran yang dikenakan di antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap permohonan," katanya.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Mereka ditahan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," ujarnya.
Dalam masa sama, DBKL turut menjalankan siasatan terhadap premis yang diserbu atas kesalahan menjalankan aktiviti tidak mengikut lesen di bawah Seksyen UUK 20(1)(e) Pelesenan TRED, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
"Kes juga disiasat di bawah Seksyen 79(1) Akta Parit dan Bangunan 1974 kerana melakukan ubah suai struktur dalaman premis tanpa kelulusan.
"Dua lelaki warga tempatan pula diberi notis hadir ke pejabat bagi membantu siasatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
