Dadah: Mahkamah Rayuan kekalkan hukuman penjara seumur hidup, sebatan enam individu

Enam individu kekal dihukum penjara seumur hidup dan sebatan kerana seludup dadah di KLIA2.
Enam individu kekal dihukum penjara seumur hidup dan sebatan kerana seludup dadah di KLIA2.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan terhadap enam individu yang disabitkan kesalahan menyeludup 7.58 kilogram methamphetamine di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, dekat sini pada 2018.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali bersama Datuk Collin Lawrence Sequerah dan Datuk Azmi Ariffin membuat keputusan itu selepas mendapati tiada merit dalam rayuan berkenaan.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman 15 sebatan terhadap Lo Wei Ryh, 33, Mak Kwong Ming, 48, Yap Fook Chen, 31, Joon Zheng Han, 28, dan dua lagi individu yang masih remaja ketika ditahan.

Hakim Che Mohd Ruzima yang membacakan keputusan sebulat suara berkata, hakim perbicaraan tidak melakukan sebarang kesilapan apabila membuat kesimpulan bahawa kesemua perayu mengetahui mereka membawa dadah terlarang, berdasarkan pernyataan beramaran mereka sendiri.

"Pembelaan perayu sebagai pembawa barang yang tidak bersalah tidak memihak kepada mereka. Mereka gagal membuat semakan mencukupi terhadap barangan yang dibawa seperti ditetapkan undang-undang,” katanya.

Mahkamah juga menolak permohonan perayu untuk mengurangkan jumlah sebatan daripada 15 kepada 12 sebatan.

Menurut fakta kes, dadah berkenaan diikat pada paha kesemua perayu dan disorokkan di dalam tapak kasut mereka ketika ditahan oleh polis bantuan di KLIA2 semasa pemeriksaan keselamatan.

Dalam pembelaan, mereka mendakwa menerima tawaran kerja sambilan daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai 'The Company' untuk menghantar bungkusan ke Korea Selatan dan diberitahu bahawa barangan berkenaan bukan dadah berbahaya tetapi makanan tambahan gim atau clenbuterol yang diharamkan di negara itu.

Pada Julai 2024, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 15 sebatan terhadap kesemua individu berkenaan selepas didapati bersalah menyeludup dadah di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, KLIA2, Sepang, Selangor pada 11 Ogos 2018.

Artikel Berkaitan:

Pada prosiding hari ini, peguam Muhamad Izwan Ishak mewakili Fook Chen, peguam Ahmad Ishrakh Saad mewakili Zheng Han dan peguam Goh Cia Yee mewakili Wei Ryh dan Kwong Ming manakala peguam Kitson Foong dan Chew Jee San mewakili dua lagi individu yang masih remaja ketika ditahan.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pula mewakili pihak pendakwaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!