Lelaki pecah masuk empat masjid dicekup

Suspek kes pecah masuk masjid berjaya ditahan di hadapan sebuah hotel di Tuaran.
Suspek kes pecah masuk masjid berjaya ditahan di hadapan sebuah hotel di Tuaran.
A
A
A

PENAMPANG - Seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes pecah masuk masjid berjaya ditahan dalam satu serbuan di hadapan sebuah hotel di Tuaran, pada Isnin.

Suspek berusia 25 tahun itu disyaki melakukan kegiatan tersebut sekitar 17 April hingga Ahad lalu melibatkan empat masjid di sekitar Putatan dan telah menyebabkan kerugian sebanyak RM2,250.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, tangkapan berjaya dibuat oleh sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang kira-kira jam 1 pagi

"Hasil siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam empat kes pecah rumah ibadat iaitu masjid di sekitar Putatan dan turut menyebabkan kerugian.

"Turut dirampas semasa tangkapan sebuah motosikal yang dilaporkan hilang di Kota Kinabalu, dipercayai digunakan suspek dalam melalukan kegiatan jenayah tersebut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sammy berkata, pemeriksaan lanjut di kediaman suspek membawa kepada penemuan pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah.

"Sejumlah wang tunai juga turut ditemui dan hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Susulan tangkapan tersebut, Sammy berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan denda atau sebat jika disabit kesalahan.

Selain itu suspek turut disiasat di bawah Seksyen 380 kanun yang sama kerana kesalahan mencuri dalam bangunan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, jelasnya.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-duanya boleh dihukum penjara hingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, boleh dikenakan hukuman sebat

"Bagi kesalahaan melibatkan kes dadah, jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!