Suspek pecah masuk makmal komputer sekolah ditahan, positif dadah

Antara barang dirampas lima unit kompresor penyaman udara, tiga guni putih mengandungi kabel warna hitam dan peralatan yang digunakan. - Foto: IPD Kluang
Antara barang dirampas lima unit kompresor penyaman udara, tiga guni putih mengandungi kabel warna hitam dan peralatan yang digunakan. - Foto: IPD Kluang
A
A
A

KLUANG – Seorang lelaki tempatan ditahan selepas menceroboh dan mencuri peralatan dari makmal komputer sebuah sekolah di Jalan Parit Haji Hashim, Simpang Renggam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, laporan mengenai kejadian itu diterima sekitar jam 8.50 pagi pada Selasa.

"Susulan maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dengan bantuan Balai Polis Simpang Renggam telah membuat serbuan di Taman Jaya 2, Simpang Renggam kira-kira jam 5 petang, Jumaat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut Bahrin, suspek berusia 33 tahun itu mempunyai empat rekod jenayah lampau dan lima rekod kesalahan berkaitan narkotik.

"Saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine," jelasnya.

Tambah beliau, dalam serbuan tersebut, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil kegiatan jenayah antaranya lima unit kompresor penyaman udara pelbagai jenama, tiga guni berisi kulit kabel bertulisan Telekom Malaysia Berhad, tukul besi, tukul kuku kambing, alat pemotong besi, gunting dan pisau boleh laras.

"Suspek direman selama tiga hari bermula 26 hingga 28 April 2025 bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.

Bahrin turut memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengesan kemungkinan penglibatan suspek dalam kes-kes lain.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!