Struktur asas: Tidak patutkah Malaysia kembali ke posisi asal?

Abdul Hamid (kiri)
Abdul Hamid (kiri)
A
A
A

SEMASA saya menjadi Timbalan Pendaftar dalam tahun 1970-an, Tan Sri S.S. Gill, Hakim Besar (Malaya), berkata kepada saya, "Kamu tahu Hamid, India telah memansuhkan perbicaraan dengan Juri pada tahun 1957. Kita pula menerimapakainya pada tahun yang sama."

Kini, kita seolah-olah mengulanginya. Beberapa tahun lalu, Mahkamah Persekutuan kita menerimapakai doktrin struktur asas yang dicipta oleh Mahkamah Agung India. Tahun lepas, Mahkamah Agung India telah mengubah pendirian mengenainya.

Apakah yang akan dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan kita sekarang? Dalam pada itu, perbicaraan dengan Juri telah dimansuhkan pada tahun 1995.

Biarlah saya menceritakan kisah ini dari awal.

Pada tahun 1973, Mahkamah Agung India memutuskan kes Kesavananda Bharati v State of Kerala, AIR 1973 SC 1461. Mahkamah memutuskan bahawa Perkara 368 Perlembagaan India (berkenaan dengan pindaan Perlembagaan India) tidak membolehkan Parlimen untuk mengubah struktur asas atau kerangka Perlembagaan.

Kesan daripada keputusan itu adalah beberapa peruntukan dalam Perlembagaan India membentuk struktur asas Perlembagaan tersebut. Mahkamah akan menentukan peruntukan mana yang membentuk struktur asas Perlembagaan tersebut berdasarkan kes demi kes.

Mahkamah kemudian akan menggunakan prinsip struktur asas sebagai asas kepada kuasanya untuk menyemak, dan membatalkan pindaan-pindaan Perlembagaan yang dibuat oleh Parlimen yang bertujuan untuk mengubah struktur asas Perlembagaan.

Dalam kata lain, kuasa Parlimen untuk meminda bahagian-bahagian Perlembagaan yang, menurut seorang Hakim atau Hakim-Hakim, merupakan struktur asas Perlembagaan, dihapuskan oleh Hakim atau Hakim-Hakim itu!

Artikel Berkaitan:

Kes itu diputuskan dengan majoriti tipis 7 berbanding 6. Dikatakan bahawa ketika kes ini diputuskan, persepsi oleh majoriti hakim bahawa wakil rakyat tidak boleh dipercayai untuk bertindak secara bertanggungjawab, adalah sesuatu yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Dalam kes Maneka Gandhi v Union of India 1978 AIR SC 597; (1978) 1 SCC 248 Mahkamah Agung India memanjangkan kepentingan doktrin ini menjadi lebih utama daripada mana-mana undang-undang Parlimen.

Mahkamah memutuskan bahawa tiada Akta Parlimen boleh dianggap sebagai undang-undang jika ia ‘melanggar’ struktur asas Perlembagaan India.

Di Malaysia, peguam-peguam dan ahli-ahli akademik memuji keputusan ini. Oleh itu, peguam-peguam di Malaysia, dipimpin oleh tiga Presiden Majlis Peguam berturut-turut, iaitu GTS Sidhu, Raja Aziz Addruse dan Param Cumaraswamy disertai oleh Gopal Sri Ram (semasa itu) berusaha keras untuk mempengaruhi Mahkamah Persekutuan ketika itu untuk menerimapakai prinsip itu.

Namun, usaha-usaha mereka gagal. Mahkamah Persekutuan dalam kes Loh Kooi Choon v Kerajaan Malaysia [1977] 2 MLJ 187 menolaknya. Suffian (LP) dan Wan Suleiman (FJ) menulis penghakiman yang berasingan memberikan sebab-sebab mengapa mereka tidak berkecenderungan untuk mengikutinya.

Keputusan itu diikuti oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Phang Chin Hock v. Pendakwa Raya [1980] 1 MLJ 70.

Pada tahun 1989, kes itu diikuti oleh Mahkamah Tinggi Singapura dalam kes Teo Soh Lung v Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Ors. [1989] 2 MLJ 449.

Loh Kooi Choon kekal sebagai undang-undang negara ini selama 33 tahun. Kita menyangka bahawa isu mengenai struktur asas Perlembagaan telah selesai.

Tetapi, itu tidak berlaku kerana seorang individu. Di penghujung kerjayanya, Gopal Sri Ram HMRA dinaikkan pangkat ke Mahkamah Persekutuan. Beliau adalah salah seorang anggota panel yang memutuskan kes Sivarasa Rasiah v Badan Peguam Malaysia & Anor. [2010] 2 MLJ 333.

Walaupun beliau adalah hakim yang paling junior dalam panel tersebut, beliau telah menyampaikan penghakiman Mahkamah.

Isu dalam kes itu adalah sama ada seksyen 46A(1) Akta Profesion Undang-Undang 1976 adalah tidak berperlembagaan. Mahkamah, melalui penghakiman Gopal Sri Ram FCJ, memutuskan bahawa ia adalah berperlembagaan. Saya tiada masalah dengan keputusan itu.

Tetapi, saya tidak bersetuju dengan pengimportan prinsip struktur asas ke negara ini kerana:

1. Ia tidak diperlukan sama sekali untuk keputusan kes tersebut. Apa yang dicabar dalam kes itu adalah kesahihan seksyen 46A(1) Akta LPA atas alasan bahawa ia tidak selaras dengan Perlembagaan. Tiada siapa pun yang cuba meminda mana-mana peruntukan Perlembagaan. Apakah relevannya prinsip struktur asas?

2. Kes Kesavananda Bharati diikuti tanpa menganalisis kes tersebut atau keadaan di sekelilingnya. Hakim itu sama ada menepis atau mengabaikan penghakiman-penghakiman terdahulu Mahkamah Persekutuan yang telah diterimapakai selama 33 tahun.

3. Mahkamah merampas fungsi Parlimen untuk meminda Perlembagaan. Sayugia diingati, Parlimen pun tidak boleh membuat pindaan sedemikian, kerana Parlimen pun tidak boleh mengikat dirinya daripada meminda peruntukan yang tidak selaras dengan peruntukan yang sedia ada, asalkan prosedurnya dipatuhi. Jika tidak Perlembagaan tidak akan boleh dipinda.

Tujuh tahun kemudian, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman dalam kes Semenyih Jaya Sdn Bhd v Pentadbir Tanah Hulu Langat (2017) 3 MLJ 561. Penghakiman itu.ditulis oleh Zainun Ali FCJ.

Beliau terus menerima penghakiman Gopal Sri Ram FCJ dalam kes Sivarasa Rasiah sebagai autoriti untuk membawa masuk prinsip struktur asas ke negara ini, tanpa sebarang persoalan. Beliau juga mengabaikan atau terlepas pandang kes-kes Phang Chin Hock dan Teo Soh Lung.

Pada 14 dan 15 Jun 2017, akhbar New Straits Times menerbitkan rencana saya dalam dua bahagian bertajuk "Bukan Tugas Hakim Untuk Meminda Perlembagaan" dan "Hakim Bukan Parlimen."

Kemudian, pada 29 Januari 2018, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman dalam kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors dan rayuan lain (2018) 1 MLJ 545. Sekali lagi keputusan ini ditulis oleh Zainon Ali FCJ.

Walaupun prinsip struktur asas tidak langsung menjadi isu dalam kes ini, Hakim tersebut mengambil kesempatan untuk menyokong Semenyih Jaya.

Akibatnya, prinsip struktur asas menjadi undang-undang negara ini.

Pada 8 Januari 2021, Mahkamah Persekutuan mengeluarkan penghakiman dalam kes Maria Chin Abdullah v Ketua Pengarah Imigresen & Anor [2021] MLJ 750, [2021] 2 CLJ 579. Ia adalah panel tujuh ahli yang dipengerusikan oleh Tengku Maimun (Ketua Hakim Negara).

Ahli-ahli lain adalah Rohana Yusuf (PMR), Nallini Pathmanathan, Abdul Rahman Sebli, Hasnah Hashim, Mary Lim dan Harminder Singh (HHMP).

Dengan keputusan majoriti 4:3, mahkamah tidak bersetuju dengan keputusan terdahulu mengenai struktur asas. Pihak majoriti terdiri daripada Rohana Yusuf, Abdul Rahman Sebli, Hasnah Hashim dan Mary Lim manakala pihak minoriti terdiri daripada Tengku Maimun, Nallini Pathmanathan dan Harminder Singh.

Ketua Hakim Negara tentulah kecewa dengan Mary Lim. Bagaimana pun, beliau kemudian mengubah pendiriannya untuk berada dalam pasukan Ketua Hakim Negara.

Tidak lama selepas kes Maria Chin diputuskan, terdapat desas-desus bahawa Ketua Hakim Negara sedang mengumpulkan satu panel lain untuk menterbalikkan (to overturn) keputusan itu.

Apabila kita melihat panel yang dipengerusikan oleh Nallini Pathmanathan dengan Harminder Singh dan Rhozariah Bujang sebagai ahli untuk mendengar kes Dhinesh a/l Tanaphll v. Lembaga Pencegah Jenayah & Ors (2022 3 MLJ 356), kita terus tahu ke mana hala keputusan kes itu akan dibawa mengenai isu itu.

Nallini dan Harminder berada dalam kem yang sama dengan Ketua Hakim Negara dalam kes Maria Chin. Rhozariah adalah salah seorang lantikan terbaharu ke Mahkamah Persekutuan, bersama dengan Harminder Singh. Kita tidak fikir beliau akan membuat keputusan yang bercanggah dengan Nallini dan Harminder.

Benar sekali, kita menerima satu keputusan sebulat suara yang ditulis oleh Nallini yang mengembalikan doktrin struktur asas ke negara ini.

Saya mengingati Gopal Sri Ram mengeluarkan satu kenyataan mengisytiharkan bahawa struktur asas adalah sebahagian daripada undang-undang kita.

Kita perhatikan dari keputusan tersebut bahawa:

"[28] Sebelum pendengaran rayuan ini dan keputusannya, mahkamah meminta peguam untuk mengemukakan hujah tambahan mengenai isu berikut, iaitu keperlembagaan seksyen 15B POCA dan sama ada seksyen itu melanggar artikel 4(1) yang dibaca bersama artikel 121(1) PP." (Terjemahan penulis sendiri)

Adalah jelas bahawa panel itu dipilih untuk menterbalikkan penghakiman kes Maria Chin dan pasukan KHN-Nallini telah berjaya dalam hal ini.

Tanpa disangka, pada 5 November 2024, Mahkamah Agung India yang terdiri daripada Ketua Hakim India DY Chandrachud, Hakim JB Pardiwala dan Hakim Manoj Misra, membuat penghakiman dalam kes Anjum Kadari v. Union of India 2024 INSC 831. Mahkamah Agung mengekalkan keperlembagaan Uttar Pradesh Board of Madarsa Education Act, 2004.

Mahkamah Agung menerangkan bahawa sesebuah statut hanya boleh dibatalkan jika ia melanggar hak asasi di bawah Bahagian III Perlembagaan atau melampaui kompetensi legislatif.

Mahkamah menekankan bahawa untuk membuktikan pelanggaran sekularisme perlu ditunjukkan bahawa statut tersebut melanggar peruntukan-peruntukan spesifik Perlembagaan yang berkaitan dengan sekularisme.

Menyampaikan penghakiman mahkamah, Ketua Hakim Chandrachud, antara lain, berkata:

“47. Perlembagaan mengenakan beberapa batasan terhadap kuasa-kuasa legislatif Parlimen dan Negeri. Artikel 13(2) memperuntukkan bahawa Negeri tidak boleh membuat undang-undang yang mengambil atau mengurangkan hak-hak yang diberihkan oleh Bahagian III. Statut-statut yang digubal oleh legislatif Negeri mestilah selaras dengan hak-hak asasi yang disenaraikan di bawah Bahagian III Perlembagaan. Selain itu, Artikel 246 mentakrifkan skop dan batasan kuasa legislatif Parlimen dan Negeri. Sesebuah statut hanya boleh diisytiharkan ultra vires atas dua alasan sahaja: (i) ia melampaui bidang kuasa legislatif legislatif tersebut; atau (ii) ia melanggar Bahagian III atau mana-mana peruntukan lain Perlembagaan.

....

55. Berdasarkan perbincangan di atas, boleh disimpulkan bahawa sesebuah statut hanya boleh dibatalkan kerana melanggar Bahagian III atau mana-mana peruntukan Perlembagaan atau kerana ia tidak mempunyai kompetensi legislatif. Keperlembagaan sesuatu statut tidak boleh dicabar kerana melanggar struktur asas Perlembagaan. Sebabnya adalah kerana konsep seperti demokrasi, federalisme, dan sekularisme adalah konsep-konsep yang tidak ditakrifkan. Membenarkan mahkamah-mahkamah membatalkan undang-undang kerana melanggar konsep-konsep tersebut akan memperkenalkan unsur ketidakpastian dalam pengadilan perlembagaan kita. Baru-baru ini, Mahkamah ini telah menerima bahawa sesuatu cabaran terhadap keperlembagaan sesuatu statut kerana melanggar struktur asas adalah satu aspek teknikal kerana pelanggaran tersebut has to be traced to peruntukan-peruntukan yang jelas dalam Perlembagaan. Oleh itu, dalam cabaran terhadap keabsahan sesuatu statut kerana melanggar prinsip sekularisme, perlu ditunjukkan bahawa statut tersebut melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dengan sekularisme.” (Terjemahan penulis sendiri).

Saya tidak memetik kes ini untuk mendesak mahkamah kita mengikutinya secara membuta tuli. Begitu juga kita tidak sepatutnya mengikuti kes-kes yang introduce doktrin struktur asas secara membuta tuli. Kita terikat dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan kita. Ini adalah kes dari satu bidang kuasa asing, yang diputuskan berdasarkan fakta-fakta unik kes-kes tersebut, dalam keadaan-keadaan unik, mengikut undang-undang dan Perlembagaan negara tersebut.

Pemahaman saya tentang kes ini ialah Mahkamah Agung India kini telah kembali kepada peruntukan Perlembagaan India, setelah melihat kerosakan yang disebabkan oleh doktrin rekaan mereka sendiri dalam tempoh lima puluh tahun yang lalu. Adakah Malaysia akan menunggu lima puluh tahun lagi untuk menyedari kesilapan yang sama?

Saya menghujahkan bahawa sudah tiba masanya untuk kita kembali kepada kedudukan sebelum menerima pakai doktrin struktur asas oleh Mahkamah kita. Saya telah dari awal lagi mengatakan bahawa adalah salah bagi kita menerima pakai doktrin itu.

Tetapi, terdapat sebahagian daripada persaudaraan undang-undang, atas sebab-sebab yang mereka sendiri ketahui, bertekad untuk mengimportnya.

Sebagai peguam mereka gagal meyakinkan Mahkamah Persekutuan untuk menerima pakainya. Sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan, salah seorang daripada mereka mendapat peluang untuk memasukkannya, walaupun tidak ada justifikasi atau keperluan untuknya untuk memutuskan kes berkenaan. Selebihnya adalah sejarah.

Peruntukan Perlembagaan kita telah digubal dengan jelas untuk mengatakan dan bermaksud i) “Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.”– Perkara 4(1), dan ii) “Tertakluk kepada peruntukan yang berikut dalam Perkara ini dan kepada Perkara 161E, peruntukan Perlembagaan ini boleh dipinda melalui undang-undang persekutuan.” – Perkara 159(1).

29 April 2025

*** Tun Abdul Hamid Mohamad ialah Ketua Hakim Negara ke-12

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!