Universiti Malaya di tangga 60 terbaik dunia

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Tuanku Nazrin Shah selaku Canselor Universiti Malaya tentunya bersukacita disembahkan berita bahawa Universiti Malaya telah berjaya menduduki tangga ke-60 dalam senarai universiti terbaik dunia bagi tahun 2025, menurut penarafan QS World University Rankings. Kedudukan ini mengatasi lebih daripada 20,000 buah universiti di seluruh dunia. Ampun Tuanku.
Keterbilangan Universiti Malaya ini tercapai di bawah tunjuk ajar YB Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, serta pentadbiran cekap Naib Canselor, Datuk Seri Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
Tidak pernah dalam sejarah, Universiti Malaya mencapai kedudukan setinggi ini sebelum tahun ini.
Universiti Malaya juga berjaya mengatasi dua daripada lapan universiti terkemuka Ivy League di Amerika Syarikat, iaitu Brown University (kedudukan ke-79) dan Dartmouth College (kedudukan ke-243).
Malah, Duke University (kedudukan ke-61), yang sering disamakan dengan universiti Ivy League dari segi reputasi akademik, turut dikalahkan oleh Universiti Malaya pada tahun ini.
Sebagai makluman, universiti dalam kelompok Ivy League terdiri daripada Harvard, Yale, Princeton, Columbia, Brown, Cornell, Dartmouth, dan University of Pennsylvania.
Antara universiti hebat lain yang berjaya dikalahkan oleh Universiti Malaya dalam lingkungan kedudukan 60 hingga 80 termasuklah City University of Hong Kong, KU Leuven, Sorbonne, University of Auckland, University of Texas at Austin, Korea University, National Taiwan University, University of Warwick, University of Illinois Urbana-Champaign, University of California San Diego, Paris-Saclay University, KTH Royal Institute of Technology (Sweden), Lund University, University of Washington, University of Western Australia, University of Glasgow dan University of Birmingham.
Universiti-universiti yang berada selepas kedudukan ke-80 tentunya turut dikalahkan oleh Universiti Malaya!
Tujuan saya menulis rencana ini bukanlah untuk bermegah atau menepuk dada, tetapi bagi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Universiti Malaya.
Pada masa yang sama, saya ingin mengingatkan kita semua agar terus mempercayai dan meyakini kebolehan diri sendiri.
Kita mampu berdiri di atas kaki sendiri.
* Datuk Profesor Emeritus Dr Hashim Yaacob
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!