Tan Sri disyaki proksi sindiket pelaburan MBI ditahan di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki bergelar Tan Sri yang dipercayai berperanan sebagai proksi kepada sindiket pelaburan MBI International Group pada Rabu.
Suspek berusia 53 tahun itu ditahan kira-kira jam 2 pagi di tepi jalan di Pulau Pinang, selepas dipercayai baru pulang dari luar negara melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurut sumber, suspek disyaki merupakan rakan kongsi yang menerima wang hasil kegiatan haram daripada dalang skim pelaburan tersebut bagi tujuan pengubahan wang haram.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali mengesahkan tangkapan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa tiada rampasan atau penggeledahan dilakukan terhadap suspek setakat ini.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan lima individu, termasuk seorang Tan Sri dan seorang Datuk Seri telah ditahan dalam Ops Northern Star siri kedua yang dijalankan di Lembah Klang dan utara tanah air dari 18 hingga 21 April lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis menyita tiga dusun durian di Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah melibatkan keluasan 363 hektar dengan nilai keseluruhan RM223.6 juta.
Sebanyak 299 akaun bank bernilai lebih RM12.6 juta serta 12 kenderaan mewah turut disita.
Setakat ini, jumlah keseluruhan pembekuan dan penyitaan aset dalam kedua-dua siri operasi tersebut mencecah RM3.5 bilion.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!