[VIDEO] Bukan sahaja bebas, SPRM mahu kepercayaan rakyat

A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan bahawa kebebasan institusi dalam membanteras rasuah perlu disokong dengan kepercayaan awam dan sistem akauntabiliti yang kukuh.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang digariskan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 36 yang menggesa penubuhan badan penguatkuasaan antirasuah yang bebas dan profesional.

"Pengalaman kami menunjukkan bahawa kebebasan institusi mesti disertai dengan akauntabiliti dan kepercayaan awam.

"Bebas daripada campur tangan sahaja tidak mencukupi, kami juga mesti mendapat kepercayaan daripada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara: Recalling Jakarta Statement 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini pada Selasa.

Menurutnya, pelaksanaan prinsip berkenaan turut berpaksikan kepada Pernyataan Jakarta yang menjadi rujukan utama dalam memastikan kebebasan, autonomi operasi serta ketelusan agensi antirasuah.

Azam
Azam

"SPRM telah menerima pakai prinsip ini bukan sekadar dari segi bentuk, tetapi juga dalam pelaksanaan melalui lima jawatankuasa pemantau bebas yang memastikan agensi kekal bertanggungjawab kepada rakyat, namun bebas daripada sebarang campur tangan," kata beliau.

Ujar Azam, cabaran dalam membanteras rasuah pada masa kini semakin kompleks, melibatkan jenayah siber dan kewangan rentas sempadan yang memerlukan kerjasama serantau serta inovasi teknologi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, SPRM komited memperkukuh usaha melalui reformasi perundangan, inisiatif pembangunan kapasiti, perluasan kerjasama antarabangsa serta penerapan teknologi seperti kecerdasan buatan dan rantaian blok bagi membanteras jenayah kewangan yang semakin canggih.

"SPRM juga menjunjung gagasan Malaysia Madani dengan menekankan nilai integriti, akauntabiliti dan keadilan sosial dalam tadbir urus negara," jelasnya.

Dalam pada itu, Azam menyifatkan penganjuran persidangan tersebut sangat bermakna selaras dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

"Sebagai sebahagian daripada komitmen serantau, Malaysia menerusi SPRM akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-Ketua ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) ke-21 pada Oktober 2025," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!