'Kematian Nurul Aina bukan sebab terjatuh' - Keluarga mahu tuntut keadilan

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Keluarga kepada Allahyarhamah Nurul Aina Mohd Karim, 37, tampil menuntut keadilan selepas mendakwa terdapat unsur mencurigakan dalam kematian mangsa yang berlaku pada 22 Mac lalu.
Menurut abang ipar mangsa, Zainal Abidin Ali, 58, suami mangsa enggan membenarkan proses bedah siasat dijalankan pada awal kejadian, namun atas desakan daripada ahli keluarga ia tetap dilaksanakan.
“Tiba-tiba polis sudah ramai di luar bilik forensik dan di rumah. Kami diberitahu punca kematian akibat kecederaan di kepala disebabkan hentakan objek tumpul.
“Kemudian, ada individu yang mengisytiharkan kematian sebagai mengejut dan mereka bersurai sebelum mayat dikeluarkan dari bilik forensik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Ujarnya, keraguan ahli keluarga semakin bertambah apabila individu yang berada bersama arwah buat kali terakhir langsung tidak dipanggil untuk siasatan.
Menurutnya, susulan tindakan tersebut dia dan ahli keluarga yang lain mula mencurigai sesuatu.
“Kami syak ada yang tidak kena. Kebiasaannya dalam kes sebegini, individu terakhir bersama si mati akan ditahan untuk disoal siasat bagi mendapatkan bukti.
“Dalam kes ini, suami dan pembantunya yang dikenali dengan nama gelaran Andak merupakan individu terakhir bersama arwah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, arwah pernah membuat dua laporan polis pada 2017 untuk membuat permohonan cerai.

Menurutnya, arwah nekad untuk melaporkan kepada pihak polis kerana mendakwa sering dipukul sejak awal perkahwinan.
“Ketika itu, saya bantu dia sebab arwah lari dari rumah di Kuantan dan minta perlindungan di rumah saya di Johor Bahru,” dakwanya.
Ditanya mengenai tindakan susulan pihak berkuasa, Zainal Abidin memaklumkan, dia dan keluarga dipanggil ke Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk memberi keterangan sebagai saksi pada Isnin selama beberapa jam.
Pada masa sama, dia dan keluarga turut mendapat perhatian dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) yang sudah melakukan susulan selama hampir seminggu.
“Jika masih tiada perkembangan, saya sendiri akan bawa perkara ini ke Bukit Aman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan jabatan lain. Kita nampak jelas ada masalah integriti.
“Kami mahukan keadilan buat arwah Nurul Aina. Harapan kami, anak-anaknya yang kini berada bersama suami arwah di Bandar D Marina, Kuantan dapat diselamatkan kerana kami tidak mahu mereka menerima nasib yang sama seperti ibunya," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, tular mengenai tindakan ahli keluarga wanita itu memohon pihak polis untuk menilai semula siasatan dijalankan bagi membela mangsa yang disyaki mati dibunuh.
Kakak mangsa, Khairun Munirah Mohd Karim, 40, menerusi sidang media mendakwa kematian adiknya, Nurul Aina adalah akibat dibunuh.
Ujarnya, pada hari kejadian adiknya dikatakan tersembam di rumah tetapi punca kematian yang disahkan oleh pakar forensik menunjukkan ada kecederaan 'blunt force trauma' di belakang tengkorak.
Bagaimanapun, mereka sekeluarga masih tertanya-tanya apabila kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Sementara itu, Polis Kuantan menafikan beberapa laporan yang tular di media sosial mendakwa tiada siasatan dilakukan terhadap kes kematian Nurul Aina itu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dakwaan tersebut tidak tepat kerana siasatan lanjut berkaitan SDR itu masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!