Kardinal Gereja Katolik berkumpul pilih Paus baharu

VATICAN CITY - Satu mesyuarat telah dijalankan pada Isnin di Rom bagi membincangkan pemilihan paus baharu selepas seminggu kematian Ketua Gereja Katolik, Paus Francis.
Seramai 252 kardinal berusia bawah 80 tahun berhimpun di Kaepl Sistine untuk memilih pemimpin baharu kepada 1.4 bilion penganut Katolik di seluruh dunia, namun hanya 135 daripadanya yang layak mengundi.
Bekas Ketua Konferensi Itali, Kardinal Gualtiero Bassetti, 83, menggambarkan suasana antara penganut agama berkenaan sebagai indah dan bersaudara walaupun mengakui terdapat cabaran kerana jumlah pengundi pada kali ini lebih ramai dan belum saling mengenali antara satu sama lain.
“Sudah tentu mungkin ada sedikit kesukaran kerana ini kali pertama jumlah pengundi begitu besar.
“Namun yang paling utama adalah kami memerlukan seorang pemimpin berani, mampu bercakap dengan tegas dan mengemudi gereja,” katanya.
Isnin lalu, Paus Francis dilaporkan meninggal dunia pada usia 88 tahun hanya beberapa minggu selepas dibenarkan keluar dari hospital akibat radang paru-paru.
Francis atau nama sebenarnya Jorge Mario Bergoglio dimasukkan ke hospital pada Februari lalu dan menjalani rawatan selama beberapa minggu akibat masalah pernafasan yang berlarutan.
Sejak beberapa hari lalu, pelbagai spekulasi timbul mengenai calon-calon yang berpotensi serta individu yang menjadi pilihan utama.
Tarikh rasmi bagi proses pemilihan paus di Gereja Kecil Sistine masih belum ditetapkan, namun tarikh paling awal berkemungkinan pada 5 Mei.
Untuk dipilih sebagai paus, seseorang kardinal perlu memperoleh dua pertiga undian dalam sidang sulit. Proses pengundian dijalankan sekali pada hari pertama, diikuti empat kali sehari pada hari-hari berikutnya.
Setelah paus baharu dipilih, asap putih akan kelihatan daripada serombong yang dipasang di atas bumbung Gereja Kecil Sistine sebagai tanda pemilihan selesai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

