Mat Sabu sindir hipokrasi pemimpin dunia di majlis pengebumian Pope Francis

Mohamad Sabu sindir hipokrasi pemimpin dunia di majlis pengebumian Pope Francis.
Mohamad Sabu sindir hipokrasi pemimpin dunia di majlis pengebumian Pope Francis.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu menyindir pemimpin dunia yang pro Zionis apabila hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Paus Francis di Dataran St Peter, Vatican City, seorang yang mengangkat nilai perjuangan kemanusiaan sepanjang hayatnya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan mereka itu berdiri dengan wajah penuh hormat, seolah-olah bersama-sama berkongsi nilai tersebut.

"Namun, ramai di antara mereka itulah juga penyokong tegar rejim Zionis Israel. Pemimpin yang sama, berdiri memberi penghormatan kepada seorang pemimpin agama yang lantang menentang kezaliman di Gaza, tetapi dalam masa yang sama terus menyokong atau membisu terhadap kekejaman yang sama.

"Ironi. Itulah kata yang tepat. Mereka hadir ke majlis penghormatan terakhir, tetapi tidak pernah menghormati seruan Pope Francis agar dunia bangkit menamatkan kekejaman Zionis ke atas rakyat Palestin," katanya pada Ahad.

Media sebelum ini melaporkan, Pope Francis, yang merupakan Pope ke-266 dan dikenang atas usahanya memperbaharui gereja serta memperjuangkan keadilan sosial, menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun.

Pengebumian Pope Francis merupakan antara perhimpunan pemimpin dunia terbesar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Seramai 130 delegasi termasuk presiden dan raja-raja pemerintah hadir dalam upacara tersebut termasuk Putera Britain, Putera William; Presiden Argentina, Javier Milei; Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump; Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer dan Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen.

Mohamad menegaskan bahawa itulah wajah sebenar hipokrasi pemimpin-pemimpin utama dunia.

Artikel Berkaitan:

"Parti Amanah Negara terus berpegang bahawa perjuangan menentang kekejaman Zionis bukan soal agama semata-mata, tetapi soal kemanusiaan.

"Malangnya, pemimpin dunia lebih takut kehilangan kuasa politik berbanding mempertahankan nilai-nilai kemanusiaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!