Paus Francis, pejuang keamanan dunia

Kenderaan membawa keranda Francis tiba untuk upacara pengebumian di St Mary Major Basilica di Rom pada Sabtu.
Kenderaan membawa keranda Francis tiba untuk upacara pengebumian di St Mary Major Basilica di Rom pada Sabtu.
A
A
A

VATICAN CITY - Ketika tampil buat kali terakhir di khalayak umum, Paus Francis yang menjadi pemimpin kira-kira 1.4 bilion penganut Katolik di seluruh dunia sekali lagi menyampaikan mesej keamanan.

Sehari sebelum pemergiannya pada Isnin, Francis menggesa pemimpin dunia terutamanya di negara konflik supaya meletakkan senjata dan kembali ke meja rundingan.

Amanat itu disampaikan jurucakapnya kepada orang ramai yang berhimpun di Dataran St Peter di Vatican dan disiarkan di seluruh dunia selepas beliau menghadapi kesukaran untuk bercakap kerana keadaan kesihatannya.

Paus Francis
Paus Francis

Sejak hari pertama Francis memimpin gerakan Katolik global kira-kira 12 tahun lalu, beliau sudah pun menjadi pejuang perdamaian global yang sentiasa dizahirkan melalui kata-kata dan tindakannya.

Beliau percaya dengan 'kuasa' proses damai, kepentingan dialog dan mengambil langkah segera menamatkan keganasan dalam apa jua bentuk.

Francis diberi julukan 'Paus yang memperjuangkan kawasan pinggiran' kerana beliau sering mengambil berat tentang mangsa konflik di sesebuah negara dan tidak jemu mendoakan keamanan buat mereka.

Artikel Berkaitan:

Salah satu tindakan simbolik beliau adalah pada 2019 apabila Francis mencium kaki pemimpin Sudan Selatan ketika kunjungan delegasi tersebut ke Vatican.

Francis dengan rendah hati menggesa Presiden Salva Kiir dan seterunya, Riek Machar supaya meletak senjata bagi membuka laluan kepada usaha perdamaian di negara bergolak tersebut.

Beliau membuat rayuan sama ketika berkunjung ke Juba pada Februari 2023.

Seruannya untuk keamanan juga disuarakan kepada legasi peperangan masa lalu yang meninggalkan parut mendalam kepada rakyat dan negara terlibat.

Sewaktu lawatannya ke Hiroshima dan Nagasaki pada November 2019, Francis menyampaikan mesej tegas menentang penggunaan senjata nuklear.

Setiap kunjungan beliau ke negara bergolak, Francis menggunakan suaranya untuk 'campur tangan' dalam konflik global dan tidak pernah jemu menggesa pelaksanaan gencatan senjata dan rundingan damai antara pihak bertelagah.

Situasi yang tegang di rantau Asia Barat turut mendapat perhatian beliau.

Pada Oktober 2024, Francis merayu pelaksanaan tempoh bertenang di Genting Gaza dan membenarkan akses bantuan kemanusiaan kepada golongan memerlukan di rantau tersebut.

Tidak pernah lupakan Gaza

Pada minggu-minggu terakhir ketika keadaan kesihatannya semakin merosot akibat radang paru-paru, Francis masih melakukan panggilan video kepada mangsa perang ganas di Gaza.

“Beliau sering menghubungi kami dan mengambil berat tentang keadaan kami sejak dari peperangan ini bermula hingga sehari sebelum beliau meninggal dunia. Beliau tidak pernah lupakan kami,” kata George Anton, salah seorang ahli komuniti Kristian di enklaf itu.

Paderi Gabriel Romanelli juga mengesahkan Francis sentiasa menelefon mereka pada setiap hari.

“Beliau akan cuba sedaya upaya mendengar khabar kami walaupun talian komunikasi berdepan gangguan dan terpaksa menunggu selama beberapa jam sebelum pulih semula. Beliau tidak akan berputus asa untuk mengikuti perkembangan terkini.

“Kali terakhir kami bercakap adalah pada Sabtu lalu. Beliau mendoakan kesejahteraan kami dan berterima kasih atas komitmen kami terhadap keamanan,” ujarnya.

Sebelum ini, Francis lantang menyuarakan kebimbangan beliau terhadap malapetaka kemanusiaan di Gaza malah mengutuk Israel kerana menyasarkan orang awam tidak berdosa.


Kira-kira 400,000 orang membanjiri Dataran St Peter di Vatican City untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau.
Kira-kira 400,000 orang membanjiri Dataran St Peter di Vatican City untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau.

Menurut beberapa pakar, Francis menerusi tulisannya pada November 2024 menyifatkan situasi yang berlaku di Gaza mempunyai ciri genosid dan wajar disiasat dengan teliti untuk menentukan sama ada ia bertepatan dengan definisi teknikal seperti dirumuskan undang-undang antarabangsa.

Selamat disemadikan

Jasad Francis yang meninggal dunia pada usia 88 tahun akibat strok dan kegagalan jantung selamat disemadikan di 'gereja kegemarannya' di ibu kota Itali.

Pengebumian itu berlangsung selepas upacara keagamaan di Dataran St Peter di Vatican yang turut dihadiri kira-kira 400,000 orang termasuk delegasi asing pada Sabtu.

Pemilik nama sebenar Jorge Mario Bergoglio kelahiran Argentina itu telah mewasiatkan beberapa perkara termasuk jenis keranda dan lokasi pengebumiannya di St Mary Major Basilica di Rom.

Pada 2023, beliau pernah menyuarakan hasrat untuk menjadikan gereja yang dibina pada tahun 432 Masihi itu sebagai tempat persemadiannya yang mana ia turut menempatkan pusara tujuh paus lain.

Sebelum pelantikan pengganti beliau yang dijangka dalam tempoh 20 hari, hal ehwal harian di Vatican akan diuruskan oleh Kardinal Kevin Farrell. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!