Ayer Kuning: Blok ketiga mula keluarkan sedikit taring

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning, Sabtu lalu bukan hanya menjadi medan persaingan antara dua blok politik utama, tetapi juga memberi petunjuk jelas tentang kebangkitan blok politik ketiga apabila pencapaian Parti Sosialis Malaysia (PSM) boleh dianggap mengagumkan.
Keputusan PRK tersebut membuka ruang untuk perbincangan mengenai kedudukan parti-parti kecil dalam arena politik negara dan bagaimana mereka kini semakin mampu memberi impak dalam pilihan raya.
Namun, pencapaian PSM dalam PRK kali ini menunjukkan bahawa sokongan terhadap blok politik ketiga mula berkembang terutama dalam kalangan pengundi yang mencari alternatif kepada dominasi dua gabungan utama - Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
PSM yang sebelum ini sering dipandang sebelah mata, kini berjaya menunjukkan kekuatan mereka dengan meraih jumlah undi yang signifikan. Ini mencerminkan perubahan sikap pengundi yang semakin matang dan kritikal, yang tidak lagi bergantung sepenuhnya pada dua blok besar.
Kebangkitan PSM adalah isyarat penting bahawa masyarakat kini semakin mencari-cari parti yang lebih dekat dengan isu-isu akar umbi seperti keadilan sosial, hak pekerja dan pembaharuan ekonomi.
Mereka membuktikan bahawa politik nilai dan prinsip, bukannya sekadar politik populariti, masih mempunyai tempat di hati rakyat Malaysia.
Ini juga mencerminkan pengaruh politik yang semakin berkembang di kalangan parti-parti yang berteraskan ideologi kiri-tengah, yang menawarkan pilihan politik yang lebih inklusif dan progresif.
PRK Ayer Kuning bukan sahaja menjadi penanda aras kepada kuasa blok politik ketiga, tetapi juga memberi amaran kepada blok politik utama bahawa mereka perlu lebih peka terhadap kehendak dan tuntutan rakyat.
Jika tidak, mereka berisiko melihat lebih ramai pengundi beralih arah, membuka laluan kepada landskap politik baharu yang lebih dinamik dan mencabar dalam masa terdekat.
Sekiranya parti-parti besar terus alpa, kebangkitan blok ketiga yang dipacu oleh PSM ini berpotensi menjadi ancaman besar dalam pilihan raya akan datang.
Parti yang gagal membaca perubahan ini akan terus ketinggalan, sebaliknya blok ketiga lebih berpotensi untuk mengisi kekosongan harapan baharu tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
