PM ingatkan jangan selesa atas kemenangan PRK Ayer Kuning

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning Sabtu lalu bukan tiket untuk berasa selesa.
Sebaliknya kata Jurucakap Kerajaan Datuk Fahmi Fadzil, kemenangan itu perlu menjadi motivasi untuk terus bekerja demi rakyat.
"Mesyuarat Kabinet dimulakan dengan ucapan tahniah oleh Perdana Menteri atas kemenangan BN dalam PRK Ayer Kuning.
"Beliau minta jangan berasa lega dengan keputusan ini tetapi harus bekerja keras untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya menerusi sidang akhbar pada Rabu.
Ujarnya, meskipun jumlah keluar mengundi rendah, ia memberi petanda positif terutama dalam kalangan pengundi muda dan Melayu.
"Daripada 20 pusat daerah mengundi (PDM), 19 dimenangi oleh BN manakala satu sahaja yang dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN). Itu pun dengan jumlah majoriti yang berkurangan," jelas Fahmi.
Dalam keputusan PRK Ayer Kuning Sabtu lalu, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir menang besar dengan memperoleh majoriti 5,006 undi.
Beliau yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) Abdul Muhaimin Malek yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS mendapat 1,106 undi.
Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih PRK Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!