Mangsa dengar letupan kuat sebelum nampak kepulan asap, api dari rumah jiran

Pasukan bomba memeriksa kediaman mangsa dalam kejadian kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin. - FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
Pasukan bomba memeriksa kediaman mangsa dalam kejadian kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin. - FOTO: SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Mangsa kebakaran di Kampung Kijang di sini menceritakan detik cemas apabila terdengar letupan kuat sebelum melihat kepulan asap dan api marak dari rumah jiran dalam kejadian yang memusnahkan lapan rumah pada Isnin.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, rumah sorang nelayan, Mat Husin Sulaiman, 68, antara yang musnah sepenuhnya selepas api merebak dalam masa singkat.

Mat Husin berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di atas buaian di bawah rumah sebelum terdengar letupan kuat dari arah rumah bersebelahan.

"Saya dengar bunyi letupan kuat dan bangun melihat ke belakang rumah sebelum nampak asap tebal.

"Apabila pergi tengok, api sudah marak. Saya berlari semula ke dalam rumah, meminta dua anak dan isteri keluar sambil cuba menyelamatkan beberapa dokumen penting, namun api marak dengan cepat hingga merebak ke rumah saya," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, struktur rumah yang diperbuat daripada kayu serta tiupan angin kuat menyebabkan api merebak pantas, hingga keluarganya hanya sempat menyelamatkan beberapa barangan asas.

Lapan rumah yang hangus dalam kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Lapan rumah yang hangus dalam kebakaran di Kampung Kijang pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

"Kami hanya sempat selamatkan baju, televisyen dan mesin basuh. Barangan lain memang tak sempat ambil," katanya menganggarkan kerugian sekitar RM150,000 bagi kediaman yang didudukinya selama 30 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi mangsa, penjual ikan, Suliman Abdullah, 60, berkata, ketika kejadian dia keluar mengisi minyak motosikal sejurus selepas solat Asar sebelum pulang dan mendapati rumahnya telah hangus terbakar.

"Balik semula, tengok rumah sudah habis terbakar. Tak sempat nak selamatkan apa-apa, cuma motosikal yang saya tunggang saja dapat diselamatkan," katanya.

Suliman berkata, seorang anak lelakinya berusia 22 tahun yang sedang tidur sempat menyelamatkan diri selepas terjaga mendengar bunyi bising.

"Kami hanya jual ikan dan buat kerja kampung. Kehilangan rumah ini satu tamparan besar buat kami sekeluarga, lebih-lebih lagi dalam suasana Aidilfitri begini," katanya.

Kebakaran itu memusnahkan lapan rumah sepenuhnya, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!