Tunda sidang Dewan Rakyat tidak salah: Pakar perlembagaan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menunda sidang Dewan Rakyat ke tarikh lain tidak menyalahi peraturan dan Perlembagaan ditetapkan.

Pakar perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, di dalam peraturan Dewan Rakyat telah menetapkan bahawa Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri boleh menentukan tarikh bagi sesuatu persidangan serta mempunyai kuasa untuk menangguhkannya.

Beliau yang juga Felo Penyelidik Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, perkara itu turut dinyatakan di dalam Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu Peraturan 11(2).

"Saya melihat bahawa langkah penangguhan adalah wajar kerana tarikh sedia ada terlalu awal. Ketika ini kerajaan masih lagi dalam proses menyusun kembali jawatan dalam kementerian termasuk menteri dan timbalan menteri.

"Tentunya proses ini mengambil masa dan menteri yang baru dilantik pula tentunya memerlukan masa bagi meneliti perjalanan kementerian masing-masing dan menentukan rangka kerja berdasarkan keutamaan semasa serta mengambil tindakan perlu bagi menangani masalah yang mendesak pada masa kini.

"Selepas tindakan (selesai membentuk Kabinet) barulah ia sesuai dibawa ke badan legislatif untuk tujuan akauntabiliti supaya pihak pembangkang sedia mengemukakan soalan berkaitan pelaksanaan pemerintahan kerajaan," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Dr Muhammad Fathi berkata, penangguhan yang dibuat itu juga secara tidak langsung membolehkan pemerintahan berjalan lancar tanpa ada sebarang risiko termasuk undi tidak percaya.

Katanya, ini kerana terdapat desas-desus yang menyebut bahawa ada pihak yang membawa usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini saya rasa lebih adil bagi semua pihak memberi peluang kepada Perdana Menteri (Muhyiddin) yang dipilih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk melaksanakan tanggungjawab berdasarkan keperluan semasa," katanya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi seorang lagi pakar perlembagaan dan undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Menurut Dr Nik Ahmad Kamal, tindakan Muhyiddin menangguhkan persidangan Dewan Rakyat masih mematuhi peraturan ditetapkan.

Jelasnya, dalam perlembagaan menyebut bahawa dalam setiap penggal sidang Dewan Rakyat jarak antara yang sebelum dan selepas mesti tidak melebihi tempoh enam bulan.

"Jadi, kalau kita mengambil kira tempoh persidangan Dewan Rakyat yang terakhir diadakan adalah pada Disember tahun lalu.

"Justeru, tarikh terbaru yang ditunda ke 18 Mei daripada tarikh asal 9 Mac itu masih belum melebihi tempoh enam bulan," katanya.

Menurutnya, beliau berpandangan antara asad atau rasionalnya Muhyiddin yang juga Perdana Menteri kelapan berbuat demikian adalah bagi mendapatkan ruang secukupnya untuk membentuk jemaah Kabinet yang mantap dan kukuh.

"Perdana Menteri memerlukan barisan menteri dan timbalan menteri yang telah siap sepenuhnya untuk menjawab semua persoalan yang akan ditanya di Dewan Rakyat nanti.

"Malah, saya juga berpandangan dalam tempoh dua atau tiga bulan pertama ini pastinya Perdana Menteri akan memberi fokus kepada isu utama negara.

"Adalah amat penting untuk beliau mengambil langkah segera untuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19 dan kesan ekonomi global ketika ini," katanya.

Terdahulu, Dewan Rakyat yang dijadualkan bersidang pada 9 Mac ditunda pada 18 Mei.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof berkata, perkara itu diputuskan oleh kerajaan melalui surat pemakluman daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ketua Majlis.